fbpx

Empangan jadi ‘port’ haram tanam durian Musang King

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sulaiman menaiki bot meninjau kawasan pencerobohan di Empangan Durian Tunggal, di sini, hari ini.

ALOR GAJAH – Kerajaan negeri ini mengesan kegiatan tanaman haram termasuk durian Musang King, buah naga, sawit, pisang dan kelapa sawit di Empangan Durian Tunggal, di sini.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, pencerobohan itu melibatkan kawasan seluas 188 hektar dengan 31.33 hektar dijadikan kawasan tanaman kontan, manakala selebihnya digunakan sebagai tapak rumah penginapan, pekerja asing, pam air dan chalet.

“Berdasarkan pemerhatian dijalankan, masih terdapat penceroboh yang mengusahakan tanah rizab empangan bagi tujuan pertanian seperti tanaman durian Musang King, kelapa sawit, buah naga, sireh, kelapa, pisang dan jambu dengan keluasan 52.7 ekar.

“Selain itu, terdapat juga struktur bangunan kekal dibina sebagai rumah penginapan, rumah pekerja asing, rumah pam air, chalet dan lain-lain,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja di Empangan Durian Tunggal, di sini, hari ini.

Katanya, setakat ini kira-kira 75 peratus daripada kes pencerobohan itu telah diselesaikan selepas notis pengosongan tapak dikeluarkan Badan Kawal Selia Air (BKSA) Melaka dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Alor Gajah.

Ujarnya, Empangan Durian Tunggal itu telah diisytiharkan sebagai kawasan larangan dan tempat larangan di bawah Seksyen 4 Akta Kawasan Larangan Dan Tempat Larangan 1959 melalui Perintah Kawasan Larangan Dan Tempat Larangan (No.7) 2011.

Tambahnya, bermula pada 1 Jun 2020, kerja-kerja mematikan pokok kelapa sawit juga telah dilakukan di sekitar kawasan empangan seluas 334.04 ekar dan ‘operasi pembersihan’ itu dijangka siap pada September 2021.

“Jangka mangsa panjang aktiviti tanaman kontan di empangan ini boleh menjadi faktor utama penyusutan air di empangan dan penurunan kualiti air mentah yang digunakan untuk lima loji utama di Melaka.

“Hasil kajian yang dijalankan di empangan itu pada tahun 2016 mendapati, Melaka telah kehilangan air sebanyak 32.5 peratus berbanding kapasiti semasa pembinaan.

“Ini menunjukkan kadar pemendapan sedimen di dasar empangan adalah tinggi, kerana banyak dipengaruhi oleh aktiviti pengemburan tanah, pembajaan, pembukaan tanah baru dan penggunaan racun,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, BKSA negeri dan Jabatan Perhutanan Negeri Melaka juga telah merancang untuk menanam pokok-pokok hutan di sekitar empangan bagi melindungi keselamatan air dan kawasan tadahan.

Terdahulu, Sulaiman pada program itu turut menerima peruntukkan sebanyak RM2.25 juta daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi pembelian lima unit ‘portable water’.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI