fbpx
FOTO kenangan Grace (kanan) bersama ibunya yang merupakan penumpang pesawat MH370, Anne Daisy (kiri).

Mengenang MH370: ‘Mengungkit itu sebenarnya sakit’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JASAD ibu tercinta telah lenyap bersama pesawat Boeing 777-200ER, Malaysia Airlines MH370 yang lesap penuh misteri tujuh tahun lalu, namun di telinga Grace Nathan, 33, gema pesanan ibu yang menjadi kekuatan sepanjang hayatnya sentiasa terngiang-ngiang.

“Don’t give up (jangan berputus asa)!”.

Pesanan ringkas itu yang acap kali diucap ibunya, Anne Daisy Nathan sepanjang Grace membesar dari mula bertatih sehingga dewasa, di balapan, pelajaran mahupun titian kehidupan.

Bekas atlet olahraga junior kebangsaan itu berkata, pesanan ibunya yang merupakan penumpang MH370 tidak pernah lekang dari mindanya dan itulah yang dibuktikan demi ibu pada hari ini.

Dari tahun 2014 hingga ke tahun ini, Grace tidak pernah putus-putus menjadi suara kepada kumpulan Voice370 yang mewakili semua keluarga mangsa tragedi itu menuntut jawapan atas apa yang terjadi.

“Orang kata tujuh tahun itu sudah lama. Ibu saya telah membuat banyak pengorbanan sepanjang hayatnya demi saya selama berpuluh tahun, apalah hendak dibandingkan dengan angka tujuh tahun pengorbanan saya berjuang untuknya.

“Saya percaya ibu saya tidak akan berlepas tangan jika dia berada di tempat saya dan saya mahu lakukan perkara yang sama untuk dia,” kata jurucakap Voice370 itu kepada K2 ketika dihubungi baru-baru ini.\

GRACE (tengah) sering mewakili keluarga-keluarga mangsa dalam tragedi kehilangan MH370 menyampaikan tuntutan dan suara hati mereka kepada pihak berwajib.

Hari ini genap tujuh tahun peristiwa sebuah pesawat bersama 239 insan yang menaikinya hilang sekelip mata di dunia ini tanpa dapat dikesan. Pesawat yang membawa 12 anak kapal serta 227 penumpang hilang dari radar ketika dalam penerbangan ke Beijing, China kira-kira 40 minit berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Penumpangnya terdiri dari pelbagai negara termasuk 153 warga China dan 38 rakyat Malaysia.

Bertolak pada pukul 12.41 pagi, 8 Mac 2014 dari KLIA dengan kru penerbangan diketuai Kapten Zahari Ahmad Shah, pesawat malang itu ‘ghaib’ dari radar pada pukul 1.30 pagi dengan mesej terakhir Kapten Zahari kepada pengawal trafik udara ialah ‘Selamat malam pesawat Malaysia 370’.

Sejak itulah pesawat tersebut menjadi tumpuan dunia dengan usaha pencariannya meluas dari Laut China Selatan sehingga ke Lautan Hindi, namun kehilangannya kekal misteri sehingga hari ini. Misi pencariannya pula telah digantung oleh kerajaan Malaysia, Australia dan China pada Januari 2017.

“Perjuangan ini belum selesai selagi pesawat itu tidak ditemui. Kami perlukan jawapan apa yang terjadi. Ini bukan soal emosi kami yang kehilangan insan-insan tersayang semata-mata, tetapi sekurang-kurangnya dengan menemui pesawat itu nanti membawa kebaikan kepada semua, bukan untuk Malaysia sahaja tetapi semua pengguna pesawat di dunia.

“Tragedi yang telah berlaku ini boleh berlaku lagi. Jadi dengan menemui pesawat ini mungkin boleh membuatkan kita lebih memahami apa yang berlaku sekali gus kita boleh mengambil langkah pencegahan agar ia tidak terjadi lagi,” katanya.

ANTARA wajah-wajah penumpang dan kru pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac 2014 termasuk Wan Swaid (atas kanan).

Mengimbas kejadian tersebut, Grace berkata, ibunya begitu teruja ke Beijing untuk bertemu bapanya, V.P.R Nathan yang bekerja di sana.

“Ibu saya sempat menelefon saya sebelum berlepas dan melafazkan I love you dalam perbualan kami. Jarang sekali kata-kata menyentuh hati itu diluahkan walaupun kami memang boleh dikatakan sering bergayut di telefon selama dua jam setiap hari.

“Sewaktu kejadian saya sedang mengikuti pengajian undang-undang di University of Bristol, Britain. Memandangkan bapa saya bekerja di luar negara, jadi saya dan seorang adik perempuan, Azelia memang banyak membesar bersama ibu sekali gus menyebabkan kami begitu akrab,” katanya yang kini merupakan seorang peguam.

Menyentuh mengenai Voice370, Grace berkata, ia ditubuhkan secara spontan berasaskan inisiatif ahli-ahli keluarga mangsa meliputi semua negara terbabit rentetan tragedi tersebut dan Grace telah secara sukarela menjadi salah seorang jurucakapnya.

“Selepas menamatkan pengajian pada Disember 2014, saya semakin aktif menjadi jurucakap kumpulan ini. Saya dan beberapa keluarga yang lain juga telah mengikuti usaha pencarian di Australia, Madagascar dan Mauritius.

Kami turut berusaha memasuki kampung-kampung di tepi pantai terbabit dengan merayu dan berpesan kepada mereka untuk menyerahkan apa-apa serpihan pesawat jika mereka ada menemuinya kepada pihak berkuasa.

“Sebenarnya ketika kami menubuhkan Voice370, kami jangkakan ia cuma untuk tempoh yang singkat sebab kebanyakan kes pesawat hilang boleh selesai dalam tempoh setahun dua, tidak sangka pula sampai tahun ketujuh kami masih menyertainya.

“Tahun demi tahun saya terus bersuara dan terus mengungkit kejadian ini. Mengungkit berulang kali itu sebenarnya sakit. Tahun kelima, keenam dan ketujuh terus mengungkit, ia menyakitkan diri sendiri. Tetapi apakan daya, saya rasa itulah yang terbaik kerana apa yang berlaku perlukan jawapan, bukan tergantung begini.

“Bayangkan, apa perasaan anda jika anda tahu ibu anda sedang menuju ke Beijing tapi kemudian pesawat yang dinaikinya dikatakan tersalah arah ke Australia dan serpihan pesawatnya ditemui di Afrika? Ini bukan melibatkan lingkungan satu atau dua negara, tetapi ini dah memasuki hemisfera berbeza. Sukar untuk dihadamkan. Boleh anda move on? Saya tidak akan cuci tangan dan lupakannya begitu sahaja,” ujarnya.

GRACE menunjukkan serpihan pesawat yang dipercayai milik MH370 dalam satu sidang akhbar di Putrajaya pada tahun 2018.

Merupakan seorang peguam, ia juga sedikit sebanyak membentuk keteguhan peribadi Grace yang hanya mahu mempercayai hal bersandarkan bukti yang sahih dan konkrit.

“Saya tidak mempercayai desas-desus dan pelbagai teori yang dikeluarkan orang tentang kehilangan MH370. Kebanyakan orang tiada bukti kukuh. Buat masa ini saya cuma percaya naratif diberikan pihak kerajaan bahawa pesawat itu telah berpatah balik dan tersalah arah,” katanya.

Biarpun pada luaran dirinya nampak setegar karang, namun Grace mengakui dalamannya adakalanya rapuh. Grace cuba untuk meneruskan kehidupan, namun mengakui separuh dirinya masih ‘terperangkap’ di alam tahun 2014.

“Saya terlalu rindukan ibu sehingga menekan emosi. Sejak tahun 2019, saya merancang untuk berkahwin tetapi saya rasa terlalu sukar untuk melakukannya tanpa ibu di sisi.

“Saya juga tidak mahu diadakan majlis dan mahu dilakukan dengan mendaftar di Jabatan Pendaftaran Negara sahaja, namun atas pujukan bapa dan bakal suami ketika itu, saya akhirnya bersetuju dan kami akhirnya berkahwin Disember lalu dalam majlis kecil.

“Orang nampak apabila saya bersuara saya okay, saya tenang, tetapi sampai ke hari ini apabila segalanya selesai dan sebelum tidur pada waktu malam saya bersedih,” katanya.

Tambahnya, seperti tahun-tahun sebelum ini, pihaknya juga mengadakan majlis ulang tahun tragedi ini, namun tahun ini ia perlu dilakukan secara online ekoran pandemik Covid-19.

“Kita adakannya demi mengenang mangsa-mangsa yang menaiki pesawat ini. Saya juga menuntut usaha mencari pesawat ini diteruskan semula dengan kerajaan bersetuju untuk menerima tawaran mana-mana syarikat yang mahu melakukan pencarian ini berasaskan pembayaran kos setelah pesawat ditemui kerana terdapat pihak yang boleh memberi khidmat sedemikian.

“Saya juga mahu terus mengingatkan orang bahawa pesawat yang hilang ini masih belum dijumpai,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN