fbpx

Impian menggunung Northsantara Esports lahir pemain profesional

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZIEZUL Hamidi (kanan) menubuhkan organisasi Northsantara Esports bagi mencari bakat-bakat baharu yang boleh diketengahkan sehingga menjadi pemain profesional e-Sukan.

Oleh SAFINA RAMLI

PERMAINAN video bertemakan battle royale terkenal, PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG) Mobile kini tidak asing lagi dalam kalangan generasi muda di negara ini.

Malah, kerjaya sebagai pemain profesional PUBG Mobile turut menjadi idaman ramai memandangkan prospek kerjaya dalam bidang berkenaan menjana pendapatan yang lumayan.

Melihat kepada sambutan masyarakat yang semakin menerima kerjaya sebagai pemain profesional dalam bidang e-Sukan, Aziezul Hamidi Zulkifli, 34, pemilik laman penstriman langsung PUBG Mobile, GK77 Studio nekad menubuhkan pasukan Northsantara pada 2019.

Ini kerana, Aziezul Hamdi yang tinggal di Air Itam, Paya Te­rubong, Pulau Pinang berkata, dia melihat peluang dalam bidang e-Sukan semakin cerah selepas menyertai Kejohanan Esport Pulau Pinang dua tahun lalu.

“Saya menubuhkan Northsantara Esports bersama tiga lagi rakan iaitu Muhammad Syafiq Taha (AyAmKLeR), Rozihan Razni Abdul Rahim (COBRA) dan Wan Jamaluddin Wan Ariffin (Jebonz) selepas kami menyertai Kejohanan Esport Pulau Pinang.

“Setakat ini pasukan Northsantara mempunyai 14 orang ahli berusia antara 12 hingga 35 tahun terdiri daripada anak jati Pulau Pinang dan juga negeri-negeri lain,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

AZIEZUL Hamidi adalah pemilik laman penstriman langsung PUBG Mobile, GK77 Studio dan juga pengasas kepada Northsantara Esports.

Aziezul Hamidi yang juga dikenali sebagai GKarlo77 di alam maya berkata, misi utama dia dan rakan-rakan menubuhkan pasukan Northsantara ialah untuk mencari bakat-bakat baharu yang boleh diketengahkan sehingga menjadi pemain profesional e-Sukan.

“Saya merancang untuk membawa pemain e-Sukan yang menyertai pasukan Northsantara ini bersaing dan menempa nama sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Ini kerana, ramai dalam kalangan anak muda kita ada bakat terpendam dan mereka juga mempunyai minat mendalam dalam bidang e-Sukan.

“Mereka ini yang kita akan latih bagi memastikan mereka berjaya mendapat tempat sehingga ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Menurut Aziezul Hamidi ramai dalam kalangan peminat e-Sukan mempunyai bakat terpendam, namun mereka tidak dapat melebarkan sayap kerana kurang pendedahan serta terikat de­ngan kerjaya masing-masing.

“Disebabkan itu, saya mahu mencipta peluang pekerjaan sebagai pemain e-Sukan liga profesional sepenuh masa bagi ahli-ahli pasukan Northsantara.

“Kerjaya sebagai pemain e-Sukan ini bukan sahaja mampu menghasilkan pendapatan lumayan, namun juga dapat membawa nama negara ke peringkat antarabangsa,” katanya.

AZIEZUL Hamidi (dua dari kanan) bersama rakan-rakan sepasukan dalam Northsantara Esports ketika menyertai salah satu kejohanan e-Sukan di Pulau Pinang.

Tambahnya, dia menyasarkan untuk ahli-ahli Northsantara menyertai liga profesional selewat-lewatnya pada tahun depan.

“Setiap tahun, PUBG Mobile Global Champion akan diadakan dan tahun lalu ia diadakan di Dubai.

“Pada tahun ini, kami sasar Northsantara Esport memasuki liga PUBG Mobile di Malaysia dahulu dan tahun depan kami akan fokus kepada kejohanan di peringkat antarabangsa pula,” katanya.

Tambahnya, pandemik Co­vid-19 membantutkan sedikit usa­ha ahli-ahli pasukan Northsantara untuk bertemu dan berlatih bagi memantapkan skill masing-masing.

Namun katanya, dia masih memastikan setiap ahli pasukan berkenaan bertemu dah berlatih secara maya dalam permainan PUBG Mobile setiap Isnin dan Rabu.

“Sebelum pandemik Covid-19 melanda, latihan dijalankan di sebuah pusat operasi di Batu Ferringhi kerana ramai ahli kami berada di sekitar kawasan ber­kenaan.

“Tetapi kerana Perintah Kawalan Pergerakan, sukar untuk kami berkumpul, jadi latihan dan pertemuan sesama ahli hanya dijalankan secara platform online, namun ia tidak melemahkan semangat ahli kami,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI