fbpx

Jadi penyampai radio, kena jaga sensitiviti – Haiza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAIZA

PETALING JAYA – Menjadi penyampai radio bukan satu tugas yang mudah. Bagi penyanyi Haiza, menggalas tanggungjawab menghiburkan pendengar di corong radio perlu meliputi beberapa aspek.

Tidak hanya berceloteh kosong, Haiza mengakui perlu sentiasa melengkapkan diri dengan isu semasa dan viral serta pada masa yang sama memastikan nama baik banyak pihak tidak tercalar.

“Setiap kali hendak memuat naik sesuatu dalam media sosial, saya perlu berfikir panjang agar tidak menyinggung sensitiviti mana-mana pihak. Banyak perkara perlu dititikberatkan seperti warna kulit, agama, bentuk tubuh dan banyak lagi.

“Sebaik saja menandatangani kontrak, majikan mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan sekiranya kita melakukan sesuatu yang mencalarkan imej syarikat. Bukan saja tertakluk kepada penyampai radio, mana-mana kerja pun sama juga.

“Sembilan tahun bergelar penyampai radio, saya tidak terlepas daripada melakukan kesalahan, namun terus meminta maaf apabila menyedari kesilapan itu,” kata Haiza ketika ditemui di majlis pelancaran single terbaharunya berjudul Mantan Isterimu.

Haiza, 41, yang bernaung di bawah syarikat pengurusan Indigital Music berkata, dia menganggap kerjaya sebagai penyampai radio memberi jaminan daripada aspek pendapatan setiap bulan.

Memulakan kerjaya dalam bidang tersebut pada tahun 2012, dia mengakui perlu mengikut rentak pendengar masa kini bagi memastikan dirinya kekal relevan sebagai penghibur menerusi corong radio.

“Jika terlalu merapu pun rasanya akan membuatkan orang muak kerana saya juga kurang selesa dengan kandungan begitu. Namun, tidak bermakna kita menolak isu viral secara total kerana ada segmen tertentu bagi membincangkan topik bualan.

“Paling harus dielakkan adalah ‘inside joke’ sesama penyampai radio yang membuatkan pendengar tertanya-tanya. Pernah juga saya terbawa-bawa gelak namun menjelaskan kepada pendengar situasi sebenar yang berlaku di konti.

“Saya bersyukur kerana arah tuju stesen Kool FM bersesuaian dengan jiwa dan usia kerana kami bukan memainkan peranan sebagai penghibur semata-mata, malah turut menyelitkan informasi berguna kepada pendengar,” kata Haiza.

Haiza atau nama lengkapnya Rohaizah Nordin memulakan tugas sebagai penyampai radio bagi segmen pagi Kool FM bersama AG dan Muaz sejak tahun 2015. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI