MELAKA – Dua lelaki disyaki tokan dicekup bersama-sama dadah bernilai RM42,000 dalam dua serbuan berasingan di Tanjung Kling dan Kandang, di sini, kelmarin.
Kedua-dua suspek ditahan masing-masing berusia 50 dan 35 tahun.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, hasil risikan, suspek pertama seorang duda berusia 50 tahun berjaya ditangkap pada pukul 2.20 petang di hadapan sebuah kedai di Tanjung Kling pada Selasa lalu.
“Hasil pemeriksaan di premis menjumpai dadah disyaki heroin seberat 382 gram dan syabu 11.6 gram bernilai RM14,470.
“Susulan tangkapan itu, kita membuat serbuan di tepi jalan di kawasan Kandang pada pukul 9 malam dan menahan suspek kedua bersama-sama rampasan dadah disyaki heroin seberat 2,527 gram bernilai RM27,500,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Zulkiflee berkata, kesemua dadah itu dipercayai bekalan untuk diedarkan bagi pasaran tempatan.
“Hasil saringan ujian air kencing ke atas kedua-dua suspek menunjukkan mereka positif dadah.
“Semakan lanjut mendapati suspek pertama mempunyai enam rekod lampau membabitkan dadah dan satu jenayah, manakala suspek kedua mempunyai lapan rekod dadah serta satu jenayah,” katanya.
Tambahnya, dalam tangkapan itu, pihaknya turut merampas sebuah motosikalnya jenis Modenas Kriss bernilai RM4,000 yang dipercayai digunakan suspek dalam kegiatan pengedaran dadah.-K! ONLINE














