fbpx

TNB Renewables jalin kerjasama dengan Sunseap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Tenaga Nasional Bhd. (TNB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, TNB Renewables Sdn. Bhd. (TNB Renewables) telah memeterai ‘bin­ding term sheet’ bagi kerjasama dengan Sunseap Group (Sunseap) yang berpusat di Singapura untuk meneroka pasaran tenaga boleh baharu (RE) dan Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) Korporat di Singapura.

Sunseap adalah salah satu daripada syarikat bumbung solar terkemuka di Asia Tenggara dan syarikat solar terbesar di Singapura.

Ia mempunyai kapasiti bersih 1.2 gigawatt (GW) di 11 pasaran dan lebih daripada 200 aset dalam pelbagai peringkat pembangunan selain mempunyai rekod memeterai PPA Korporat jangka panjang dengan pelanggan terkemuka seperti Microsoft dan Facebook.

Portfolio keseluruhan RE TNB pula adalah 2,732.3 megawatt (MW) di Malaysia dan 666MW di United Kingdom, Turki dan India yang kebanyakannya melibatkan aset penjanaan tenaga solar, angin dan hidro.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din berkata, kerjasama tersebut merupakan usaha pertama TNB untuk meneroka pasaran tenaga boleh baharu di Singapura dan ia meletakkan kedua belah pihak pada kedudukan terbaik bagi memanfaatkan segmen PPA Korporat yang sedang berkembang pesat.

“Kerjasama ini juga tepat pada masanya, memandangkan jangkaan pelancaran tender oleh Pihak Berkuasa Pasaran Tenaga Singapura bagi percubaan penyaluran bekalan tenaga rentas sempadan Malaysia, Singapura menjelang Mac 2021,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Selain itu, Baharin turut ­menyifatkan kerjasama tersebut adalah penting untuk mencapai matlamat Kumpulan untuk meluaskan portfolio keseluruhan REnya kepada 8,300MW menje­lang 2025.

“Berikutan kejayaan pelabu­ran kami dalam perniagaan di UK menerusi Vortex Solar dan Tenaga Wind Ventures, kerjasama bersama Sunseap adalah langkah penting untuk meneruskan strategi peluasan penjanaan RE di peringkat antarabangsa.

“Kerjasama ini menyediakan platform yang kukuh dengan keupayaan, kapasiti serta jaringan untuk memacu perkembangan perniagaan tenaga boleh baharu dan utiliti kami di Asia Tenggara,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI