fbpx

Jeti jadi tempat longgok pakaian terpakai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NAPI menunjukkan lambakan pakaian terpakai yang dibuang berhampiran Sungai Condong di jeti Orang Asli, Pulau Indah, Klang semalam.

KLANG – Nelayan di jeti Orang Asli berhampiran Taman Laguna, Pulau Indah di sini terkejut dengan penemuan kira-kira lima tan pakaian terpakai dibuang di kawasan tersebut baru-baru ini.

Pembuangan pakaian ke kawasan tersebut dilakukan kira-kira dua minggu lalu menggunakan sebuah lori.

Seorang nelayan Orang Asli, Napi anak Nathan, 35, membe­ritahu, ini merupakan kejadian pertama berlaku di kawasan jeti nelayan yang telah wujud sejak 33 tahun lalu.

Katanya, pelaku didapati menutup pakaian terpakai itu menggunakan kanvas sebelum salah seorang daripada nelayan membukanya dan mendapati ia merupakan pakaian lama dan rosak.

“Tindakan membuang sampah ini sangat tidak bertanggungjawab, kawasan kami dijadikan sebagai lokasi tapak pelupusan haram.

“Kami terpaksa membakar sedikit demi sedikit pakaian itu bagi mengurangkan lambakan yang mencacatkan pemandangan.

“Ketika air pasang, pakaian itu akan masuk ke dalam Sungai Candong dan menyebabkan enjin bot rosak kerana tersangkut dengan pakaian itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini semalam.

Sebahagian pakaian yang dibuang berhampiran jeti.

Pembuangan pakaian itu tular selepas dimuat naik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri dalam laman facebook miliknya.

Menurut Azmizam, pembuangan itu telah mendatangkan kacau ganggu alam sekitar dan masalah kepada para nelayan terutamanya nelayan persisir pantai untuk turun ke laut bagi mencari hasil tangkapan.

“Ini juga mewujudkan pemandangan yang menjengkelkan. Kita belum mengetahui siapa membuangnya dan berkemungkinan daripada kedai atau gudang pakaian terpakai yang telah muflis,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Persekitaran Majlis Perbandaran Klang, Zaireezal Ahmad Zainudin ketika dihubungi berkata, hasil siasatan mendapati pembuangan dilakukan ketika para nelayan turun ke laut.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI