SEJAK sedekad lalu, Azri (bukan nama sebenar) sudah terbiasa dengan dunia barangan terpakai atau bundle memandangkan abangnya juga mempunyai minat sama.
Kadangkala, dia dan abangnya akan bersama-sama pergi ‘menyelam’ bundle untuk mencari pakaian berjenama atau dikenali sebagai jackpot.
Menerusi minat itu juga, pemuda berasal dari Johor itu pernah mengalami pengalaman yang membuatkan dia tidak berani membeli pakaian bundle sembarangan lagi.
Berkongsi kisah tersebut, lelaki yang kini berusia 25 tahun itu berkata, dia pernah pergi ke sebuah kedai bundle di Kuala Lumpur bersama rakan-rakannya pada cuti hujung minggu.
“Saya memang kerap ke Kuala Lumpur untuk ‘menyelam’ di kedai bundle bagi mencari jika ada pakaian jackpot.
“Ketika itu, saya berkunjung ke sebuah kedai dan terjumpa satu jaket denim berjenama yang diletakkan di rak pakaian berharga RM5,” katanya kepada CitaRasa.
Disebabkan terlalu teruja dengan jaket itu, dia tanpa berfikir panjang terus membelinya.
Sejak membawa jaket itu pulang ke Johor Bahru, Azri yang tinggal bersama keluarga berasa seperti ada sesuatu yang tidak kena.
Sepulangnya ke rumah bersama jaket itu, Azri mendapati bahawa anak buahnya yang berusia tiga tahun menangis seperti ternampak sesuatu.
Namun pada ketika itu, dia merasakan anak buahnya mungkin menangis sebab lapar atau disakat seseorang.
Kemudian, selepas dia meletakkan beg ke dalam bilik, anak buahnya terus berhenti menangis.
Pada sebelah malamnya pula, Azri mula bermimpi sesuatu yang aneh.
“Saya mula bermimpi mengenai satu insiden kemalangan ngeri dan ada susuk seorang pemuda dengan penuh berlumuran darah datang ke arah saya.
“Mimpi itu sangat ngeri, namun apabila susuk itu sudah mendekat, saya terus terjaga daripada tidur,” ujarnya.
Kongsinya, mimpi itu berulang dalam beberapa hari.
Namun, Azri tidak berkongsi kepada sesiapa mengenai hal tersebut dan menganggap sekadar mimpi biasa.
Sehinggalah dia terlihat anak buahnya tidur sambil berjalan sebelum berhenti di depan biliknya.
Lebih aneh, anak buahnya itu mula bertanya tentang rasa sakit seperti sedang berbicara dengan seseorang.
Tidak hanya itu, Azri juga pernah melihat susuk lelaki berlumuran darah di dalam cermin sambil menunjuk jari ke arah almari yang menyimpan jaket denim tersebut.
Hal itu membuatkan Azri mula berasa seram, sebelum memberitahu kejadian tersebut kepada bapanya.
Bapanya segera meminta bantuan rakannya yang merupakan seorang pakar perubatan tradisional.
“Selepas menceritakan apa yang berlaku, kawan bapa memberitahu bahawa saya ada membawa barang ‘kotor’ ke dalam rumah.
“Mulanya saya agak pelik kerana tidak pernah bawa balik barang syirik atau kotor.
“Selepas itu, kawan bapa beritahu bahawa jaket bundle yang saya beli milik individu telah mati,” kongsinya.
Disebabkan itu, Azri mula terfikir mengenai kejadian-kejadian pelik yang berlaku dalam hidupnya selepas membawa balik jaket bundle tersebut.
Kemudian, dia mengambil jaket itu untuk ditunjukkan kepada kawan bapanya.
Selepas ditunjukkan pakaian itu, kawan bapanya memberitahu, jaket tersebut adalah punca kepada semua kejadian aneh yang berlaku.
Kemudian, Azri terus membakar jaket itu.
Selepas itu, tiada lagi kejadian aneh yang berlaku di dalam rumah Azri.














