fbpx
MARLENA menunjukkan cara-cara membuat kelupis.

Aroma kelupis daun irik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KETUPAT serta lemang pastinya tidak asing dalam kalangan masyarakat Melayu di Semenanjung, namun berbeza bagi masyarakat di pantai barat Sabah terutamanya etnik Brunei serta Bisaya yang begitu sinonim dengan makanan tradisi dikenali sebagai kelupis.

Kelupis boleh dikatakan hidangan wajib setiap kali tibanya perayaan, kenduri mahupun majlis perkahwinan. Malahan majlis perkahwinan melibatkan etnik Brunei di Sabah ibarat tidak lengkap sekiranya tiada acara membungkus kelupis atau sering dipanggil ‘mengelupis’ sebelum majlis itu berlangsung.

Dihasilkan menggunakan beras pulut dan santan, makanan tradisi ini enak dimakan begitu sahaja atau dihidangkan bersama kuah kacang serta pelbagai juadah sampingan seperti ayam masak merah, rendang daging dan sayur lodeh.

Berkongsi mengenai masakan menarik ini, penduduk Kampung Klias Baru, Beaufort, Sabah, Haisah @ Dayang Sarudin, 73, berkata, beras pulut yang sudah dicuci sehingga bersih hendaklah digaul bersama santan yang sudah dimasak terlebih dahulu bagi memastikan kelupis boleh disimpan lebih lama.

Haisah berkata, beras pulut yang sudah digaul bersama santan itu kemudiannya akan dikukus sehingga separuh masak sebelum dibungkus menggunakan daun irik.

 

HAISAH menunjukkan hasil kelupis yang sudah siap dibungkus dan diikat menggunakan tali agar memudahkan proses pengukusan.

 

“Beras pulut ini kita boleh juga kukus sehingga masak, tetapi saya lebih memilih setakat separuh masak sahaja bagi mengelakkan pulut mempunyai kerak ketika siap dikukus.

“Jangan risau jika pulut hanya separuh masak kerana kelupis akan dikukus semula sebelum dihidangkan dan langkah ini membuatkan pulut masak sepenuhnya,” katanya kepada Panorama baru-baru ini.

Menurutnya, selepas melalui proses pengukusan, beras pulut berkenaan akan dibungkus menggunakan daun irik.

“Selain daun irik, kelupis juga boleh dibungkus dengan daun kelapa tetapi ramai yang lebih gemarkan daun irik berikutan mudah disediakan, selain rasanya lebih enak.

“Setelah dibungkus, kelupis dimasukkan ke dalam pengukus untuk proses pengukusan akhir yang mengambil masa selama sejam hingga satu jam setengah.

 

DAUN irik sering digunakan untuk membungkus juadah ini selain mampu memberikan rasa yang lebih enak.

 

“Masa untuk proses mengukus yang terakhir ini bergantung dengan beras pulut yang digunakan. Oleh itu, adakalanya kita kena memeriksa beberapa kali untuk pastikan kelupis masak,” katanya.

Nenek kepada tiga orang cucu itu menyatakan dia selalu menyediakan kelupis setiap kali mengadakan kenduri atau menyambut Aidilfitri dan Aidiladha.

Menurutnya, hidangan terbabit antara menu wajib yang dicari setiap tetamu yang berkunjung ke rumahnya, malahan sudah menjadi kebiasaan untuknya memasak kira-kira enam kilogram beras pulut untuk dijadikan kelupis setiap kali perayaan.

Biarpun kelupis sering disajikan ketika musim perayaan dan keramaian seperti kenduri dan perkahwinan, juadah berkenaan juga kerap menjadi pilihan peniaga di negeri ini untuk menjana sumber pendapatan.

Peniaga kelupis, Marlena @ Nur Afiqah Madin, 42, berkata, dirinya mula menjalankan perniagaan kelupis itu sejak enam tahun lalu secara dalam talian.

Marlena berkata, awalnya dia hanya membuat kelupis untuk hidangan keluarga serta rakan-rakan rapat namun ramai menyarankan dirinya menerima tempahan.

“Saya hanya mengusahakan perniagaan kelupis ini secara kecil-kecilan dan semua proses dilakukan di rumah sahaja.

 

KELUPIS enak dimakan begitu sahaja atau dengan hidangan lain seperti kuah kacang, rendang dan sebagainya.

 

“Perniagaan ini cumalah sumber ekonomi tambahan saya kerana sudah memiliki pekerjaan tetap.
“Disebabkan kekangan masa, saya jarang mengambil tempahan dalam kuantiti terlalu banyak,” katanya yang memasarkan kelupis pada harga 90 sen sebiji bagi yang sudah dikukus manakala 80 sen sebiji untuk kelupis sejuk beku.

Marlena memaklumkan, permintaan ke atas kelupis yang dipasarkannya meningkat antara dua sehingga tiga kali ganda setiap kali tibanya sambutan perayaan.

Mempelajari resipi memasak kelupis daripada ibunya, Jijah Jamudin, Marlena menyatakan dia menerima tempahan lebih 4,000 kelupis pada Aidilfitri sebelum penularan Covid-19, namun jumlah itu berkurang kepada 2,000 biji pada perayaan tahun lalu ekoran hanya mula menerima tempahan pada hujung minggu kedua Ramadan.

“Sedikit sukar mendapatkan daun irik sepanjang penularan Covid-19 serta penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Mungkin juga pencari-pencari daun ini tidak dapat keluar mencarinya ekoran bimbang melanggar prosedur operasi standard (SOP).

“Bagaimanapun, saya masih menerima tempahan sekiranya semua bahan keperluan membuat kelupis ini mudah diperolehi dan mungkin menghentikan seketika jika alami kesulitan menyediakan bahan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN