fbpx

Isteri cubit lagi sakit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menerima suntikan vaksin Covid-19 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah Kuantan hari ini.

Oleh NIK SUKRY RAMLI

KUANTAN – “Kalau isteri kita cubit, lagi sakit,” demikian seloroh Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail ketika ditanya sama ada beliau berasa sakit atau tidak ketika menerima suntikan vaksin Covid-19 hari ini.

Beliau yang menjadi individu pertama di negeri ini menerima vaksin itu, mengetuai 115 penerima lain yang terdiri daripada petugas barisan hadapan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Negeri Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah dekat sini, hari ini.

Katanya, kerajaan negeri menyasarkan seramai 1.2 juta daripada hampir 1.7 juta atau 70 peratus daripada rakyat Pahang mendapat suntikan vaksin menjelang Februari tahun depan.

“Kita jangka Februari tahun depan boleh selesai semua, tetapi bergantung kepada tarikh bila vaksin sampai, kalau lagi cepat selesai lagi bagus,” katanya dalam sidang akhbar selepas selesai menerima suntikan.

Yang hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Datuk Seri Norolazali Sulaiman; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr Bahari Awang Ngah.

Dalam perkembangan sama, Wan Rosdy memberi amaran kepada golongan anti vaksin supaya tidak menyebarkan kenyataan mengelirukan mengenai suntikan vaksin Covid-19.

“Sesiapa yang menghasut orang ramai supaya tidak ambil vaksin boleh didakwa mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan mereka boleh dikenakan denda atau dihukum penjara maksimum dua tahun.

“Walaupun tiada paksaan, tetapi saya dengar ada negara yang hanya benarkan individu yang ambil vaksin dan tunjuk bukti mereka ambil vaksin masuk ke negara mereka sekali gus menyukarkan sesiapa ingin keluar negara untuk melancong atau bekerja,” katanya.

Penghantaran fasa pertama sebanyak 23,400 dos vaksin keluaran Pfizer bagi negeri ini tiba di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, Rabu lalu.

Sebanyak 9,360 dos disimpan di HTAA, Hospital Lipis (4,680 dos); Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh (4,680 dos); Hospital Rompin (3,510 dos) dan Hospital Bentong (1,170 dos). – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI