IPOH – Operasi memadam kebakaran yang berlaku di sebuah bukit di Kampung Sindu, Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai dekat sini sejak petang semalam masih diteruskan bagi memastikan api tidak merebak.
Kebakaran melibatkan kawasan bukit seluas kira-kira 12 hektar itu dilaporkan orang awam pukul 5 petang semalam sebelum operasi memadam dihentikan dan disambung semula pada pukul 8 pagi hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, operasi pemadaman sedang dijalankan dengan menggunakan peralatan pemerap api melibatkan anggota seramai 10 orang.
“Kita menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian ini pada pukul 5 petang semalam sebelum menghantar sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai bagi memadam api.
“Sebuah pos kawalan bencana juga telah dibuka di lokasi kejadian bagi tujuan mengawal dan merancang operasi pemadaman kerana ia melibatkan sebuah kawasan yang luas,” ujar jurucakap tersebut.
Usaha memadam kebakaran hutan itu masih berterusan manakala punca kebakaran belum dikenalpasti.
Operasi diketuai Shaharuddin Tuan Ali manakala Pengarah JBPM Perak, Azmi Osman turut berada di lokasi bagi meninjau keadaan. -K!ONLINE