fbpx

Neraca muzik Kmy, Luca

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DUO rap yang sedang mengukir nama, Kmy Kmo dan Luca Sickta.

USIA mereka dalam gelanggang seni barangkali baru setahun jagung. Namun, tanpa perlu menunggu lama, ada sahaja ruang dan peluang diraih untuk menjalinkan kerjasama dengan nama-nama besar industri muzik tanah air.

Selepas kolaboratif dengan Datuk M. Nasir menerusi lagu Zuhud dan kemudian Datuk Seri Siti Nurhaliza (7 Nasihat), penyanyi rap duo, Kmy Kmo dan Luca Sickta sekali membuka mata khalayak apabila berpadu dengan seorang lagi penyanyi hebat, Raja Pop Malaysia, Datuk Jamal Abdillah.

Kali ini mereka meluncurkan single baharu berjudul Neraca.

Mendengar Neraca biarpuan sekadar sepintas lalu, karya tersebut boleh disimpulkan sebagai satu peringatan yang baik, terutama untuk generasi baharu agar tidak mudah hanyut dengan meladeni era serba moden kini.

Terkenal dengan kemahiran menulis lagu dengan makna tersirat dan menjunjung tinggi bahasa Melayu, Neraca juga tidak mengenepikan perihal tersebut.

Kata Luca atau nama sebenarnya, Shameer Ashraf Shahruddin, ‘guru’ mereka, Malique sentiasa berpesan agar menjaga elemen tersebut.

“Malique cakap kepada kami, Malaysia mempunyai rakyat yang berbilang kaum. Di negara ini, tidak kira Melayu, Cina dan India, semuanya makan nasi lemak.

“Semua kaum, mahu atau tidak, akan bercakap dalam bahasa Melayu,” kata Luca yang berasal dari Pahang.

Dia juga mengakui sangat terinspirasi dengan kejayaan anak-anak Malaysia seperti Siti Nurhaliza yang berjaya mengadakan konsert di Royal Albert Hall, London dengan menjunjung tinggi budaya dan adat resam termasuk penggunaan bahasa Melayu.

KMY KMO (kanan) dan Luca Sickta kini muncul dengan single terbaharu, Neraca berpadu suara dengan Jamal Abdillah.

Keutamaan

Luca dan Kmy juga gemar bermain perkataan-perkataan yang jarang digunakan dalam kehidupan seharian sebagai bait-bait nukilan lirik yang mempunyai maksud-maksud tersirat.

“Ada peminat sering hantar mesej kepada kami tanya maksud perkataan yang digunakan. Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sentiasa menjadi rujukan kami semasa bikin lagu.

“Waima pensyarah kolej dan universiti pun ada mesej kami bertanyakan maksud perkataan dan ayat yang diselitkan dalam lagu-lagu kami.

“Itu satu perkara yang amat kami hargai,” ujarnya.

Memperincikan tentang penciptaan Neraca, Kmy berkata, lagu tersebut berkisar tentang gejala sosial yang kian menular dalam masyarakat sekarang.

“Zaman datuk nenek moyang kita dahulu, ada banyak pantang larang. Sekarang sebab zaman sudah berubah dengan kemajuan teknologi dan sosial media. Terlalu terbuka dalam memberikan komen dan buat sesuatu tanpa memikirkan soal adab.

SEJAK mula menghasilkan muzik, Kmy dan Luca sudah menulis senarai nama-nama besar dalam industri muzik tanah air termasuk Jamal Abdillah untuk diajak berpadu dalam karier mereka.

“Demo pertama Neraca siap pada 2018, serentak dengan 7 Nasihat dan Zuhud. Masuk tahun 2019 baru kami melakukan improvisasi termasuk mixing dan mastering,” katanya.

Berhubung kerjasama dengan Jamal Abdillah, dari awal lagi Kimy dan Luca sudah membayangkan pelantun lagu Kekasih Awal Dan Akhir itu sebagai penyanyi lagu Neraca.

“Ketika Kmy buat rakaman demo, dia menyanyi ala-ala Jamal. Malah, dari awal lagi kami memang sudah pasang niat, alangkah menarik jika Jamal dapat menyanyikan lagu ini.

“Awalnya, muzik agak berlainan. Tetapi, selepas Jamal memberikan persetujuan kami terus tukar dan masukkan elemen ghazal.

“Kami fikir, muzik tradisional itu tidak boleh dilupakan oleh generasi baharu walaupun aspek itu dipersembahkan dalam versi moden.

“Kalau peminat lama mendengar lagu ini pun, mereka tetap akan mengenali muzik ini,” jelas Kmy.

Luca pula tidak menyangka Jamal seorang yang sangat ‘sempoi’ ketika pertama kali bertemu untuk menjalani proses rakaman.

“Sepanjang rakaman, Jamal sangat mengalu-alukan kami. Kami menjangkakan dia seorang legenda yang ‘diva’, tetapi dengan kami dia okey.

“Tidak ada langsung rasa kekok, sebaliknya dia sangat mudah bekerjasama, profesional dan merendah diri. Sikap yang ditunjukkan itu tidak membuatkan kami rasa takut dan segan,” kata Luca.

DUo rap ini menjadikan muzik sebagai satu cara untuk mengangkat keunikan dan keindahan bahasa Melayu.

Impian jadi kenyataan

Memilih nama penyanyi bertaraf legenda untuk bekerjasama dengan jenama Kmy Kmo dan Luca Sickta, duo rap itu menyifatkan keputusan tersebut sebagai cita-cita sejak awal pembabitan mereka dalam muzik.

“Sejak zaman sekolah lagi kami sudah menghasilkan muzik. Sejak itu kami bercita-cita mahu bekerjasama dengan penyanyi legenda. Kami memang ada senaraikan nama penyanyi itu.

“Ini lebih kepada ingin merealisasikan impian. Kami mahu habiskan dahulu senarai legenda. Setakat ini kami sudah selesai dengan genre yang diwakili setiap legenda itu. Tinggal lagi satu genre, iaitu rock pula.

“Insya-Allah, selepas itu baru kami akan beralih ke senarai ‘A list’. Kami sudah ada lagu dan senarai nama penyanyi. Kami juga akan buat projek bersama penyanyi baharu yang mempunyai bakat dan vokal bagus.

“Ketika proses rakaman, Jamal tanya sama ada dia dibenarkan buat impovisasi dalam nyanyian. Mendengarkan pertanyaan itu, kami sebenarnya sangat berbesar hati.

“Cara itu mengingatkan kami kepada Siti Nurhaliza ketika rakaman lagu 7 Nasihat. Dia turut bertanya perkara sama,” katanya.

Neraca juga boleh dikatakan kesinambungan daripada Zuhud yang dilancarkan pada Disember 2019.

“Neraca merupakan kesinambungan mesej daripada Zuhud. Jadi, lagu ini merangkumi keseluruhan dan seimbangkan mengenai kehidupan yang berlaku sekarang. Apatah lagi dalam zaman media sosial, gejala sosial semakin menjadi-jadi.

“Faktor terbuka dijadikan alasan untuk buat masalah. Sebab itu, kami menyentuh soal ketuhanan dalam lirik lagu. Dalam video muzik, ada diselitkan gambaran manusia yang terikat dan terleka dengan hal dunia.

“Cuma apa boleh dikatakan, muzik lagu ini berat berbanding Zuhud. Terpulang kepada peminat,” jelas Kmy.

JAMAL ABDILLAH seronok dapat bekerjasama dengan pemuzik generasi muda, secara tidak langsung penyanyi Ghazal Untuk Rabiah itu juga sentiasa relevan dalam pasaran muzik tanah air.

Mereka berbakat – Jamal

Jamal Abdillah pula menyifatkan kerjasama dengan Kmy dan Luca dalam lagu Neraca sebagai pengalaman baharu selain menyifatkan mereka sangat berbakat.

“Proses rakaman sangat santai, mudah dan tidak terlalu sukar. Kerja dengan anak muda memang seronok dan mereka sangat berbakat.

“Begitu juga ketika proses penggambaran video muzik, penuh erti tersirat yang perlu dihayati. Mesej yang ingin disampaikan agak kuat.

“Video muzik Neraca berkisar tentang kisah perjalanan manusia menempuh peredaran masa sebagai manusia biasa.

“Lagu ini sesuatu yang sangat bererti buat saya sebagai penyanyi era lama dalam penghasilan video muzik.

“Harapan saya untuk lagu ini sangat tinggi. Semoga ia dapat diterima oleh pendengar muzik terkini, terdahulu dan ketika zaman saya.

“Ini kerana, lagu ini menggabungkan kedua-dua generasi. Melodi dan muzik lagu ini agak unik termasuklah rap yang disampaikan sangat bermakna dan kena hayati,” katanya.

Lagu Neraca sudah dilancarkan secara rasmi di semua platform penstriman muzik seperti Spotify, Apple Music, Joox, Deezer, KKBOX dan YouTube Music bermula 19 Februari lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI