fbpx

Buluh bertuah bertukar jadi malang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lucky bamboo didakwa membawa tuah dan menolak unsur negatif.

KLANG – Hasrat satu sindiket untuk menyeludup 8,000 kilogram (kg) pokok hiasan lucky bamboo (buluh bertuah) dari Indonesia berkecai apabila dirampas pihak berkuasa di Pelabuhan Utara di sini kelmarin.

Pokok hiasan bernilai RM52,486 itu dikesan hendak dibawa masuk menggunakan sebuah kontena pada pukul 10 pagi oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Selangor.

Pengarahnya, Zamri Hashim berkata, siasatan awal mendapati kontena dari Indonesia telah tiba di pelabuhan itu sejak 16 Februari lalu.

Katanya, lucky bamboo itu adalah untuk pasaran dalam negara ini.

“Pemeriksaan menemui 8,000kg lucky bamboo bernilai RM52,486 yang dibawa masuk tanpa mematuhi syarat import Maqis seperti permit, lesen dan perakuan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Tambahnya, siasatan lanjut mendapati sebatang lucky bamboo dijual pada harga RM6.56 dan digunakan sebagai tanaman hiasan di rumah dan taman.

Difahamkan, pokok tersebut sering mendapat permintaan ramai kerana didakwa boleh membawa tuah dan menolak sebarang unsur negatif kepada pemiliknya.

Kes disiasat mengikut Sek­syen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara 6 tahun dan denda RM100,000 jika sabit kesalahan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI