fbpx

Riena ganti Shuk, riuhkan Hot FM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RIENA DIANA kini rasmi bergelar penyampai Geng Pagi Hot di radio Hot FM.

PETALING JAYA – Gelagat dan aksi spontan Lailer yang disayangi ramai menerusi drama Kampung People membawa tuah kepada pelakon Riena Diana apabila dipilih sebagai penyampai Geng Pagi Hot, di radio Hot FM.

Riena atau nama sebenarnya, Nur Qamariena Diana Zulreal, 24, mengakui debaran lebih terasa apabila secara rasmi bertugas bersama gandingan segmen berkenaan Fizie dan Mark Adam.

Kehadiran Riena sebagai anggota Geng Pagi Hot (GPH), sekali gus menjadikan dirinya pengganti Shuk Sahar yang ditamatkan kontrak bersama Hot FM pada 18 Februari lalu akibat kontroversi rumah tangga.

“Alhamdulillah! Syukur kerana tahun 2021 menjadi permulaan yang baik buat saya. Tipulah jika saya kata tidak terkesan dengan pandemik, namun Allah membuka jalan dalam cabang seni berbeza pula sebagai penyampai radio.

“Jika sebelum ini saya bersiaran sebagai pengganti sementara bersama Haziq dan Deen, rezeki berpihak kepada saya kerana ditawarkan sebagai penyampai tetap pula. Saya masih baru dalam bidang penyiaran radio dan banyak lagi yang perlu dipelajari.

“Saya terhutang budi kepada watak Lailer kepada membuka mata penggemar seni tempatan dengan kehadiran saya sebagai pendatang baru. Mungkin pendengar terhibur dengan keletah bersahaja saya menemani mereka setiap pagi,” katanya kepada Kosmo! Online.

Riena Diana memulakan tugas sebagai penyampai Hot FM baharu menggantikan posisi Shuk Sahar bermula hari ini.

Selain Riena, penyanyi juga komposer, Mark Adam terlebih dahulu diberi mandat sebagai GPH secara rasmi pada 15 Februari lalu.

Menurutnya, percubaan bergelar penyampai radio Hot FM selama seminggu pada 1 Februari lalu juga tidak pernah dibayangkan, selama ini.

Pernah meluahkan rasa terkilan sekiranya tidak dipilih, Riena bersyukur kerana impiannya itu akhirnya termakbul.

Dalam perkembangan lain, Riena turut memulakan perniagaan menjual laksa dipanggil Laksa Lailer, sejak sebulan lalu.

“Sudah lama sebenarnya saya ingin menceburi bidang perniagaan, namun baru kini berjaya dilaksanakan. Saya meminta nasihat dan pandangan daripada bapa yang turut meniaga nasi ayam di Gombak.

“Panjang sebenarnya sejarah laksa ini. Bermula dengan mengidam pada pukul 3 pagi, saya akhirnya belajar masak laksa kerana tidak dapat menahan rasa ‘teringin’ pada waktu begitu.

“Resipi laksa diperturunkan oleh nenek. Pakcik dan makcik saya turut membantu saya dalam urusan perniagaan ini. Boleh dikatakan perniagaan keluarga juga,” kata Riena. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI