fbpx

Kontraktor perlu berhati-hati elak terputus bekalan elektrik- TNB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Orang ramai dan pihak kontraktor dingatkan supaya berhati-hati dalam melakukan kerja-kerja pengorekan tanah supaya tidak menjejaskan kestabilan bekalan elektrik sepanjang Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dilaksanakan.

Ketua (Operasi dan Penyelenggaraan), Bahagian Rangkaian Pengedaran Tenaga Nasional Berhad (TNB) Mohd. Yusof Ibrahim berkata, bekalan elektrik yang stabil diperlukan pihaknya kerana vaksin Pfizer-BioNTech perlu disimpan pada suhu -70 darjah celsius.

“Pihak kontraktor yang melakukan kerja-kerja pengorekan perlu menyemak dengan TNB sebelum memulakan kerja agar gangguan bekalan elektrik dapat dielakkan.

“Peringatan ini adalah sebahagian daripada langkah berjaga-jaga demi menjamin keselamatan vaksin Covid-19 berikutan Malaysia mula menerimanya pada 21 Februari lalu disusuli dengan fasa pertama program imunisasi pada 26 Februari ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Mohd. Yusof, sepanjang tahun lalu terdapat 459 kes kerosakan akibat pengorekan pihak ketiga dilaporkan dengan negeri Selangor mencatatkan kes tertinggi sebanyak 118 kes yang menjejaskan 141,000 pengguna.

“Kuala Lumpur pula mencatatkan 108 kes (94,000 pengguna), diikuti Pahang dengan 43 kes (55,000 pengguna),” ujarnya.

Menurutnya, TNB sebelum ini memaklumkan, bekalan elektrik di Pusat Simpanan Vaksin (PSV) dan lebih 600 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara akan stabil sepanjang pelaksanaan program imunisasi.

Justeru, orang ramai diminta melaporkan segera kepada TNB CareLine di talian 15454 atau menghubungi pihak polis apabila ternampak pihak mencurigakan yang menceroboh pepasangan TNB seperti pencawang dan menara talian.

“Kegiatan mengusik dan mencuri pepasangan TNB boleh menyebabkan percikan arka dan seterusnya gangguan bekalan elektrik.

“Bermain layang-layang dan drone berhampiran talian TNB serta membawa galah dan memancing di kolam atau tasik di bawah talian TNB juga mengundang risiko yang sama,” katanya. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI