Oleh GHAZALI ALIAS
MELANGKAH ke pintu di laman Kwai Chai Hong umpama merentasi terowong masa yang membawa pengunjung kembali ke kehidupan penempatan masyarakat Cina pada era 1960-an.
Sebuah laman kecil yang terlindung di belakang kedai itu diibaratkan sebagai kapsul masa yang menggambarkan memori silam keharmonian penduduk di kawasan antara Jalan Petaling dan Lorong Panggung, Kuala Lumpur pada ketika itu.
Kwai Chai Hong ialah nama panggilan lorong tersebut oleh masyarakat Cina dalam bahasa Kantonis.
Di situ, pengunjung dapat melihat pelbagai lukisan mural yang dilukis pada dinding belakang kedai yang menggambarkan sisi-sisi kehidupan penduduk Cina yang rata-rata merupakan imigran dari Guandong, China.
Menjadikannya kelihatan lebih klasik adalah struktur bangunan yang masih dikekalkan sama seperti era itu.
Jika diamati pada setiap lukisan mural, pengunjung akan mengerti bagaimana masyarakat Cina pada ketika itu hidup sebagai satu komuniti, tinggal di tingkat atas rumah kedai dan menjalankan perniagaan di tingkat bawah selain keriangan kanak-kanak bermain, warga emas yang bermain alat muzik di tepi jalan atau menulis kaligrafi Cina.

Lukisan yang diabadikan itu juga adalah memori yang turut dirasai oleh seorang warga emas, Ho Kow, 78, atau mesra disapa Uncle Ho. Pengasas kedai kopi, Ho Kow Kopitiam itu menceritakan bahawa pada zaman tersebut, masyarakat Cina hidup umpama keluarga yang harmoni dan saling membantu.
“Saya datang ke Malaysia (Malaya ketika itu) pada usia 15 tahun bersama keluarga. Kami bermigrasi ke sini dan membuka kedai makan. Kawasan ini dahulu meriah kerana selain menjadi tempat berniaga, kami juga tinggal di tingkat atas kedai.
“Kalau dahulu ada masanya di rumah jiran yang memiliki televisyen, semua akan berkumpul di rumah tersebut untuk menonton televisyen. Selain itu, semasa sambutan perayaan kami sama-sama meraikannya seperti sebuah keluarga besar dengan jamuan makan dan aktiviti kunjung-mengunjung,” katanya ketika ditemui K2 di premis Ho Kow Kopitiam di Lorong Panggung, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu turut memberitahu, seiring peredaran waktu, kawasan tersebut telah banyak berubah. Bukan sahaja ia tidak semeriah dahulu kerana tiada lagi penduduk yang tinggal di tingkat atas kedai, tetapi landskap sekitarnya juga telah banyak berubah.
Dia yang juga telah membuka kedai kopi di situ lebih lima dekad turut terkesan kerana terpaksa berpindah dari premis asal ke premis baharu. Ketika itu, dia dimaklumkan bahawa lokasi premis tempat dia berniaga ingin dibangunkan.
Tetapi selepas dia berpindah kedai ke kawasan berhampiran, tiada apa yang berlaku sehinggalah pemilikan sebahagian kawasan (termasuk lokasi kedai lama) itu diambil alih oleh lima sahabat yang membangunkan laman kecil di sebuah ruang belakang kedai sehingga menjadi produk pelancongan.
Menjadi tumpuan pelancong sejak dibuka pada April 2019, laman bersejarah, Kwai Chai Hong itu berubah landskap keseluruhan dan mengangkatnya sebagai lokasi yang menyimpan sejarah penempatan awal masyarakat Cina di Kuala Lumpur.
Idea pembangunan ini atau digelar projek Kwai Chai Hong adalah hasil kerjasama lima pemilik baharu 10 lot kedai perniagaan di Lorong Panggung, yang juga rakan kongsi dalam syarikat Bai Chuan Management Sdn. Bhd.
Salah seorang rakan kongsi, Chang Wun Zeen, 45, atau lebih mesra disapa Zeen memberitahu, projek Kwai Chai Hong adalah usahanya menghidupkan semula sejarah buat tatapan generasi muda. Dia memilih era 60-an kerana pada zaman itu kehidupan komuniti masyarakat Cina semakin meriah dengan kepesatan kegiatan ekonomi selain masyarakat pelbagai kaum semakin bersatu selepas kemerdekaan Malaysia.

Jelasnya, sejarah kawasan tersebut adalah kisah masyarakat yang perlu dikongsi, malah namanya sendiri juga mempunyai cerita yang menarik di sebaliknya. Kwai Chai Hong adalah gelaran masyarakat Cina kepada Lorong Panggung di mana kwai chai (perkataan dalam bahasa Kantonis) membawa maksud hantu kecil, manakala hong adalah jalan atau lorong.
“Nama itu diberikan kerana penduduk ketika itu sering menggelar kanak-kanak nakal dengan panggilan hantu kecil. Ada juga versi yang mengatakan nama jalan hantu itu diberi kerana terdapat aktiviti kumpulan gengster dan perjudian di kawasan itu.
“Walaupun begitu, ia adalah nilai estetika dan asam garam kehidupan masyarakat ketika itu yang menjadi sisi sejarah orang Cina sebagai salah satu kaum utama di Malaysia. Senario ini kami kembalikan dalam bentuk mural di Kwai Chai Hong. Ia sekali gus menghidupkan kembali lokasi tersebut daripada sebuah kawasan perniagaan biasa dan lorong belakangnya terbiar kepada tarikan pelancongan,” katanya ketika ditemu bual menerusi sidang video.
Tambah wanita berasal dari Petaling Jaya, Selangor itu, projek tersebut adalah serampang dua mata dalam menarik kunjungan generasi muda yang semakin kurang mengunjungi kawasan itu yang secara amnya turut dikenali sebagai bandar Cina (Chinatown).

Jelasnya lagi, projek yang menelan belanja kira-kira RM1.5 juta itu bukanlah bersandarkan kepada keuntungan, ia lebih kepada tanggungjawab sosial kepada masyarakat.
Pengunjung boleh masuk ke laman sejarah itu secara percuma dan mereka juga bebas bergambar di mural serta mengabadikan kenangan berkunjung ke sana.
Pengunjung juga boleh mendapatkan maklumat dan cerita di sebalik setiap gambar dengan mengimbas kod QR yang terdapat pada setiap mural.
Sebahagian besar tarikan lokasi itu adalah lukisan muralnya yang merupakan karya pelukis tempatan iaitu Khek Shin Nam, 48, dan rakan-rakannya.
Menurut Shin Nam yang mesra dipanggil Norman, setiap idea dan konsep lukisan dipilih khusus oleh Zeen dan rakan kongsinya dengan memastikan matlamat mereka memenuhi nilai sejarah tercapai.
“Lukisan-lukisan ini adalah cerita rakyat di sini. Bermula daripada gambar pasangan bercinta di jambatan, pintu masuk sehingga mural utama yang menggambarkan kehidupan komuniti di Kwai Chai Hong.
Ia pendekatan terbaik dalam menceritakan kembali sejarah kawasan ini dalam bentuk visual sekali gus menjadi tarikan pelancong,” ujarnya.














