fbpx

Nafi ‘Blackpig’kan Lisa Blackpink, Janna Nick buat laporan polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JANNA NICK vs Lisa Blackpink.

PETALING JAYA – Tindakan pelakon Janna Nick menamakan satu watak dalam telefilem arahannya, Delen dengan pangilan ‘Lisa Blackpig’ mengundang padah apabila dikecam hebat netizen sehingga wujudnya tanda pagar #JannaNickGoingToJailParty yang menjadi sohor kini dalam Twitter seluruh dunia.

Rata-rata peminat beranggapan gelaran Lisa Blackpig itu dikaitkan dengan bintang K-pop terkemuka, Lalisa Manoban atau Lisa Blackpink.

“Saya tidak menyamakan Lisa Manoban dengan ‘Lisa Blackpig’ sebagaimana yang ditohmah.”

“Saya juga sama sekali tidak mempersendakan mana-mana individu, apatah lagi mempersendakan mendiang Kim Jong-hyun menerusi video yang dimuat naik oleh Sharifah Sakinah pada tahun 2018 dan disensasikan semula di media sosial, ” kata Janna ketika dihubungi Kosmo! Online.

Berhubung tohmahan yang sengaja menggelarkan Lisa Blackpink sebagai ‘Lisa Blackpig’, Janna bertegas bahawa dakwaan tersebut langsung tidak berasas dan tidak masuk akal.

“Perkara itu adalah tidak benar sama sekali. Sebagai peminat budaya Korea, saya menganggap dakwaan yang dilemparkan tidak berasas.

“Saya sendiri pernah berhubung dengan pihak pengurusan dan artis Korea dalam kerjaya dan menghormati mereka. Tidak dapat diterima akal untuk saya menggelarkan atau menyamakan nama besar dalam industri seperti Lisa Manoban dengan nama yang mengaibkan.

“Selain dilemparkan dengan pelbagai tohmahan, saya juga turut menerima ugutan jenayah dan serangan peribadi serta kata-kata kesat yang merosakkan nama baik saya bukan saja di dalam negara malah di luar negara,” tambahnya.

Lebih memburukkan keadaan,  video lama Janna yang dikatakan pernah mempersendakan kematian penyanyi kumpulan SHINee, Kim Jong-hyun pada 2017 kembali diungkit dan menjadi bahan menambahkan amarah netizen.

TANGKAP layar penjelasan Janna Nick berhubung isu yang kini diperkatakan netizen.

Heroin drama Marry Me Senorita itu juga telah membuat satu laporan polis telah dibuat berhubung kecaman dan ugutan yang terima. Setakat ini, siasatan sedang dijalankan oleh pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengenal pasti mereka yang berselindung di sebalik nama atau akaun samaran.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakan-rakan media, teman dan penyokong serta peminat yang khususnya mempertahankan segala tuduhan negatif yang dilemparkan oleh pesalahlaku ini.

“Saya berharap perkara sebegini tidak akan berlaku lagi sama ada di peringkat industri hiburan tanah air mahupun antarabangsa,” jelas Janna.

Berhubung video mempersendakan kematian Jong-hyun, Janna menjelaskan, pelakon Sharifah Sakinah juga telah membuat penjelasan dan permohonan maaf pada tahun 2018. Janna sendiri telah membuat satu kenyataan memohon maaf kepada mana-mana pihak yang tersinggung berhubung isu berkenaan.

Tidak tahan dikecam atau mahu meredakan keadaan, tinjauan Kosmo! Online mendapati akauan Instagram Janna Nick kini telah dinyahaktif. – K! ONLINE

TANGKAP layar menunjukkan akaun Instagram Janna sudah tidak boleh diakses dan tanda pagar #JannaNickGoingToJailParty yang sohor kini dalam Twitter.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI