fbpx

Gagal lagi hadir bicara, Hakim tegur pembelaan kes Zahid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR – Pihak pembelaan yang mewakili kes Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ditegur Hakim Mahkamah Tinggi di sini apabila Ahmad Zahid gagal lagi hadir menjalani prosiding kes perbicarannya buat kali ketiga hari ini.

Ia selepas peguam Hamidi Mohd. Noh yang mewakili Ahmad Zahid memaklumkan anak guamnya tidak dapat hadir kerana menjadi kontak rapat kepada pemimpin UMNO yang positif ketika menghadiri Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) di Janda Baik, Pahang Jumaat lalu.

“Sehubungan itu, tertuduh perlu menjalani kuarantin Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO), selama 10 hari bermula 21 Februari,” katanya.

Ketika prosiding, Hakim Collin Lawrence Sequerah menasihatkan pihak pembelaan untuk mengingatkan anak guamnya supaya tidak menghadiri sebarang mesyuarat sepanjang atau menjelang tarikh perbicaraan.

“Tarikh yang ditetapkan oleh mahkamah adalah cukup untuk pihak pendakwaan menutup kes mereka, namun disebabkan perkara ini, mahkamah terpaksa mencari tarikh lain,” katanya.

Berikutan itu Hakim Collin meminta pihak pembelaan memgemukakan bukti kebenaran merentas negeri kepada mahkamah selain bukti Ahmad Zahid menghadiri mesyuarat dan menjadi kontak rapat kepada pemimpin UMNO yang positif tersebut.

Hamidi kemudian mengemukakan surat pekeliling yang mana anak guamnya diperlukan menghadiri mesyuarat itu daripada Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan.

Selain itu Hamidi turut mengemukakan surat kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang mengecualikan semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada sekatan merentas negeri.

Terdahulu dalam prosiding itu Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran turut mempersoalkan tindakan Ahmad Zahid yang melakukan rentas daerah dan negeri ketika tempoh perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Perbicaraan kes ini adalah sama penting dengan urusan beliau yang lain, malah, tertuduh seolah-olah menggunakan alasan ini (kontak rapat) untuk tidak menghadiri perbicaraan mahkamah,“ katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 4 Mac ini untuk sambung perbicaraan kes.

Sebelum ini, satu laporan berita mendakwa seorang pemimpin UMNO yang menghadiri MKT di Janda Baik, Pahang Jumaat lalu dilaporkan positif Covid-19.

Susulan itu, beberapa pemimpin tertinggi UMNO yang turut menghadiri mesyuarat berkenaan dikatakan telah melakukan ujian saringan.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI