fbpx

Warga emas ugut mahu bunuh polis diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Tindakan berani seorang warga emas cuba menendang termasuk mengugut mahu membunuh salah seorang anggota polis membawa padah apabila dia diberkas di Taman Sri Manja di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, lelaki berusia 62 tahun itu bertindak sedemikian ketika sepasukan polis cuba menangkapnya selepas dia bertindak kurang ajar ketika melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, kejadian berlaku ketika sepasukan anggota polis sedang membuat rondaan cegah jenayah di kawasan berkenaan.

“Pasukan tersebut mendapati terdapat lebih daripada dua individu berkumpulan di sebuah meja makan di dalam restoran yang jelas melangkar arahan Majlis Keselamatan Malaysia (MKN).

“Sebaik polis mendekati meja pelanggan itu untuk membuat teguran, kesemua individu tersebut melarikan diri kecuali suspek,” ujarnya.

Jelasnya, suspek bertindak berani dengan menghampiri sekumpulan polis itu dengan mengugut mahu membunuh salah seorang daripada mereka.

“Ekoran tindakan biadab suspek, polis cuba memberkasnya bagaimanapun suspek bertindak agresif dan menendang salah seorang anggota berkenaan.

“Tidak cukup dengan itu, suspek sekali lagi mengeluarkan kata-kata kesat kepada anggota yang sama sebaik tiba di Balai Polis Petaling Jaya,” ujarnya.

Menurut beliau, ekoran itu suspek yang tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau itu akan direman selama tiga hari bagi membantu siasatan.

Katanya, suspek juga telah dikenakan kompaun RM1,000 kerana melanggar arahan PKP 2.0 (tiada penjarakan sosial) dan dia juga akan disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK), 186 KK dan Seksyen 90 Akta Polis. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI