MELAKA – Pejabat Ketua Menteri Melaka mengesan tindakan tidak bertanggungjawab individu dipercayai scammer yang menggunakan gambar profil dan nama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali di aplikasi WhatsApp baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan rasmi dikeluarkan, pihak kerajaan negeri menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan tidak tertipu dengan sebarang penghantaran mesej menerusi WhatsApp atau media sosial lain yang menggunakan identitinya.
Katanya, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang termasuk membuat laporan polis jika mereka yang terlibat tidak menghentikan perbuatan berkenaan.
“Tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja boleh mencemarkan nama baik dan imej Ketua Menteri Melaka, bahkan boleh menyebabkan kerugian dan kesusahan kepada pihak yang terpedaya dan menjadi mangsa penipuan.
“Sehubungan itu, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali meminta agar pihak yang tidak bertanggungjawab itu segera menghentikan perbuatan yang menyalahi undang-undang itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Datuk Zainal Abu dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Datuk Shadan Othman dikatakan turut mengalami situasi sama apabila ada pihak didakwa menyamar menggunakan identiti mereka menerusi aplikasi WhatsApp.
Zainal menerusi satu kenyataan melahirkan rasa kesal apabila gambarnya dimanipulasi sebagai gambar profil oleh pemilik telefon tidak bertanggungjawab. Beliau turut menafikan nombor telefon yang tersebar itu merupakan miliknya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan yang dibuat Zainal dan Shadan berhubung perkara itu, semalam.-K!ONLINE