SEBERANG PERAI – Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun di Sungai Petani, Kedah yang menderita penyakit jantung berlubang memerlukan ihsan orang ramai bagi mencukupkan dana berjumlah RM70,000 untuk membolehkannya menjalani pembedahan segera.
Muhammad Aliff Farhan Md. Saad, ketika ini terpaksa berulang alik ke Hospital Sungai Petani dan Hospital Pulau Pinang di sini selepas disahkan menghidap penyakit jantung berlubang sejak lahir.
Pengerusi badan amal, One Hope Charity & Welfare, Chua Sui Hau berkata, atas dasar desakan hidup, keluarganya terpaksa menangguhkan pembedahan ke atas Muhammad Aliff beberapa kali kerana tidak mempunyai wang yang mencukupi selain penyakitnya masih dapat dikawal dengan pengambilan ubat.
Bagaimanapun, beliau berkata, berdasarkan makluman doktor, sejak kebelakangan ini kesihatan kanak-kanak itu semakin merosot dan perlu menjalani pembedahan segera.
“Menurut doktor, pembedahan perlu dilakukan segera kerana masalah itu akan menyebabkan kegagalan hati selain nyawa kanak-kanak itu berada dalam bahaya.
“Doktor juga mengesyorkan agar berat badannya mencapai 8 kilogram (kg) atau lebih untuk jalani pembedahan dan ia waktu sesuai kerana dia sudah mencapai 8.5 kg ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Sui Hau berkata, selain perlu menanggung perbelanjaan Muhammad Aliff Farhan, pasangan Nor Azura Zainol, 36, dan Md. Saad Hamid, 47, juga kini menyara lima anak yang lain termasuk yang berusia 19 tahun.
“Ibu Muhammad Aliff Farhan merupakan pekerja pembersihan di sebuah hospital kerajaan di Kedah dengan pendapatan RM1,200 sebulan, manakala bapanya yang bekerja kampung tidak mempunyai pendapatan tetap.
“Mereka yang terdesak untuk pembedahan segera itu telah datang kepada kami untuk merayu bantuan anda semua kerana pembedahan perlu dilakukan segera di sebuah hospital swasta dengan kos RM70,000,” katanya.
Orang ramai yang berhasrat menghulurkan bantuan boleh menghubungi talian 04-5059800, 016-4192192 atau 019-2322192 atau e-mel ke [email protected]