fbpx
Andi Bernadee

Andi Bernadee hilang ingatan terkena santau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA- Penyanyi Andi Bernadee hilang ingatan dan tidak mengenali orang di sekelilingnya selepas terkena santau.

Perkara tersebut disahkan oleh pengurus publisitinya, Muhammad ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

“Memang benar Andi terkena santau dan telah melakukan rawatan alternatif semalam.

“Keadaannya okey cuma selepas rawatan, dia tidak berapa kenal orang. Menurut ustaz yang merawat, itu adalah kesan sementara sekitar seminggu dua selepas rawatan dijalankan,” kata Muhammad.

Tambah Muhammad, pihaknya mengesan ada sesuatu yang tidak kena dengan Andi selepas penyanyi yang popular dengan lagu Donde dan Shimmy itu terjatuh ketika hendak makan tengah hari di rumahnya semalam.

Ketika rawatan, pihaknya menemui katak kering di atas bumbung rumah dan paku karat.

“Sebenarnya sudah beberapa hari katak kering itu berada di atas bumbung di luar rumah tempat Andi suka menghabiskan masanya.

“Apa yang pelik bumbung tersebut lutsinar dan pembantu rumahnya sentiasa mengemas daun-daun kering di kawasan tersebut, tidak pula dia nampak katak kering itu.

“Selepas rawatan dan ditunjukkan ustaz yang merawat barulah kami semua nampak. Pihak pengurusan agak terkejut dengan perkara ini dan mendoakan yang terbaik buat Andi,” kata Muhammad.

Terdahulu, Andi, 29, mengejutkan peminat selepas dia berkongsi sebuah rakaman video berunsur mistik menerusi akaun Instagramnya malam semalam.

Dalam video tersebut, kelihatan seekor katak yang telah kering dan paku karat di dalam sebuah mangkuk berisi telur.

Difahamkan barangan aneh tersebut ditemui ketika Andi melakukan rawatan alternatif.

“Alhamdulillah, terima kasih awak.  Saya tak tahu apa salah saya pada awak. Apa pun ini ujian Allah,” tulisnya. – K! ONLINE

POPULAR