fbpx

Sanggup mengaku membunuh supaya polis bersihkan salji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG pekerja membersihkan sebatang jalan dilitupi salji di ibu kota Ukraine, Kiev pada 9 Februari lalu. - AFP

KIEV, Ukraine – Seorang lelaki Ukraine membuat aduan kes pembunuhan palsu dengan harapan polis akan membersihkan jalan ditimbus salji di luar kediaman lelaki tersebut apabila mereka datang untuk menangkapnya, kata pihak berkuasa tempatan kelmarin.

Lelaki itu menelefon polis petang Sabtu lalu untuk memberitahu bahawa dia telah membunuh kekasih ibunya dengan menikam dada mangsa.

“Bagaimanapun, dia turut memberi amaran kepada polis supaya datang bersama jentera penyodok salji kerana dengan cara itu sahaja mereka dapat sampai ke rumahnya,” kata Yuliya Kovtun selaku jurucakap polis rantau Chernihiv di utara Ukraine.

Katanya, polis tidak membawa jentera penyodok salji tetapi sampai ke rumah lelaki itu dengan menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV).

“Sejurus tiba, anggota-anggota polis mendapati kekasih ibu lelaki itu berada di kediaman tersebut seperti yang dilaporkan tetapi mangsa sihat dan tidak cedera. Tiada sesiapa menyerangnya,” kata Yuliya.

Menurutnya, lelaki itu segera mengaku bahawa dia membuat panggilan palsu.

Beliau menambah, perkhidmatan perbandaran telah membersihkan salji di jalan tersebut awal hari yang sama tetapi lelaki itu tidak berpuas hati dengan kerja yang dilakukan.

Lelaki itu yang menetap di Kampung Grybova Rudnya kini berdepan denda sehingga 119 hryvnias (RM17.40) kerana membuat laporan palsu.

Salji tebal melanda Ukraine sejak beberapa hari lalu. Negara itu dilitupi salji setebal kira-kira 50 sentimeter.

Bekas negara Kesatuan Soviet yang mempunyai 40 juta penduduk itu merupakan antara negara paling miskin di Eropah. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI