Seorang lelaki cedera selepas ditendang peragut di Seri Pinang, Butterworth semalam.

Lelaki pengsan motosikal ditendang peragut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBERANG PERAI – Seorang lelaki pengsan dan mengalami kecederaan ringan selepas motosikal ditungganginya ditendang peragut bermotosikal di Jalan Sungai Lokan, Seri Pinang, Butterworth di sini semalam.

Kejadian kira-kira pukul 6.20 pagi itu dikatakan berlaku ketika mangsa berusia 23 tahun sedang menunggang motosikal jenis Honda EX5 bersendirian untuk ke tempat kerja di sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mangsa sebelum itu menyedari dia diekori oleh sebuah motosika dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan.

“Mangsa memecut motosikalnya, namun dikejar sehingga kira-kira 100 meter sebelum suspek menghimpit motosikalnya dan mengarahkan mangsa berhenti.

“Lelaki itu menyedari motosikalnya telah ditendang sebelum dia tidak sedarkan diri kerana pengsan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Noorzainy berkata, mangsa kemudiannya disedarkan oleh orang awam yang melihatnya terbaring di atas jalan sebelum menghantar pulang ke rumah di Permatang Sintok, Kepala Batas di sini.

“Dia mendapati beg galas yang mengandungi telefon bimbit, dokumen peribadi, jam tangan dan wang miliknya telah tiada.

“Mangsa yang cedera dan luka pada beberapa bahagian badan kemudiannya dibawa ke Hospital Kepala Batas bagi mendapatkan rawatan,” katanya.

Terdahulu, kejadian itu tular di media sosial selepas beberapa keping gambar memaparkan keadaan mangsa yang cedera itu dimuat naik di Facebook.

Pemilik sebuah akauan Facebook yang membuat hantaran berkaitan turut mendakwa kejadian sama pernah berlaku beberapa kali di kawasan berkenaan, namun Noorzainy menafikan dakwaan tersebut.

“Berdasarkan rekod, ia merupakan kejadian kali pertama di kawasan itu kerana pihak polis tidak pernah dimaklumkan atau menerima laporan seperti kejadian sama.

“Kenyataan tular itu adalah tidak benar,” katanya lagi.

Menurut Noorzainy, polis telah mengenal pasti suspek yang terlibat dan usaha memburu mereka sedang giat dijalankan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN