SHAH ALAM – Sepasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) terpaksa berhempas pulas lebih dua jam menangkap seekor ular sawa seberat 50 kilogram (kg) menggunakan semburan mesin jet pam air (water jet) di Taman TTDI Jaya di sini semalam.
Tindakan itu susulan kedudukan ular sawa berkenaan yang ditemui pukul 9.30 malam di longkang yang sempit.
Jurucakap APM Klang berkata, kejadian disedari seorang penduduk selepas melihat reptilia itu memasuki longkang berdekatan rumahnya.
Katanya, tiga anggota termasuk pegawai bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 9.52 malam.
“Setibanya di lokasi, kita menghadapi kesukaran untuk menangkap ular itu kerana longkang berkenaan tidak mempunyai lubang atau penutup.
“Berikutan itu, kita terpaksa menggunakan mesin jet pam air milik penduduk untuk menyembur air ke dalam longkang tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini, hari ini.
Ujar jurucakap itu, reptilia berkenaan berjaya ditangkap selepas bergerak menuju ke lubang saliran utama longkang sejauh lebih 20 meter.
“Kita menggunakan peralatan khas untuk menjerut ular tersebut dan segera membawanya keluar.
“Operasi itu berakhir sepenuhnya pada pukul 12.22 tengah malam,” katanya.
Tambahnya, ular itu itu kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut. -K! ONLINE