fbpx

Pengarah Urusan direman beri kelulusan projek mega PBT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengarah urusan sebuah syarikat swasta pendigitalan direman tujuh hari bantu siasatan kelulusan projek mega sebuah PBT di Selangor.

SHAH ALAM – Seorang pengarah urusan sebuah syarikat swasta pendigitalan direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung salah guna kuasa pemberian kelulusan projek pembangunan mega sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT), tiga tahun lalu.

Perintah tahanan reman terhadap suspek lelaki berusia 60 tahun itu dikeluarkan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam M. Mageshwary.

Terdahulu suspek dibawa ke kompleks Mahkamah Shah Alam kira-kira pukul 10 pagi dengan memakai pakaian lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan bergari serta diiringi pegawai SPRM.

Menurut sumber, suspek ditahan kira-kira pukul 6.45 petang semalam di Pejabat SPRM Selangor selepas hadir memberikan keterangan.

Katanya, berdasarkan maklumat awal terdapat pegawai-pegawai sebuah PBT terlibat dalam amalan rasuah salah guna kuasa dan penyelewengan dalam memberikan kelulusan pembangunan sesuatu projek.

“Ia dilakukan dengan melantik syarikat yang mempunyai hubungan keluarga dengan pegawai PBT di Selangor tanpa melalui proses perolehan yang sepatutnya.

“Siasatan awal suspek terlibat dalam satu projek pelan mega di PBT itu setakat ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.

Sumber sama turut memaklumkan nilai projek tersebut dianggarkan RM275,000 yang diterima pembayaran sekaligus untuk semua fasa pembangunan projek tersebut.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim menegaskan kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI