fbpx

Tuntut hutang sambil tunjuk pistol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dalam serbuan penangkapan atas kes peras ugut, polis berjaya merampas sepucuk pistol dan 7 butir peluru bersama suspek di hotel Lebuh Victoria semalam. UTUSAN KOSMO/ MOHAMMAD FIRDAUS BIN AMRAN

GEORGE TOWN – Tindakan dua lelaki mahu menuntut hutang daripada seorang rakan sambil mengugut dengan pistol mengundang padah apabila mereka ditahan polis di sebuah hotel di Lebuh Victoria di sini semalam.

Terdahulu, suspek dikatakan menemui mangsa di kawasan sebuah apartmen di Jalan Datuk Ismail Hashim, Bayan Lepas di sini dua jam sebelum mereka dicekup kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, bapa mangsa berusia 57 tahun membuat laporan polis selepas anak lelakinya berusia awal 30-an mengadu diugut oleh suspek yang dikatakan menunjukkan pistol kepadanya.

“Pihak polis telah merampas sepucuk pistol jenama glock berserta seunit magazine dan tujuh butir peluru hidup yang terselit pada pinggang suspek berusia 34 tahun ketika serbuan.

“Manakala, pemeriksaan ke atas beg galas yang dibawa oleh seorang lagi suspek menemui sekeping kad kuasa polis yang didapati tulen, dua bilah pisau lipat dan dadah jenis syabu anggaran berat 0.9 gram.

“Polis turut merampas sebuah kereta jenis Toyota Altis dipercayai disewa sejak seminggu lalu di Selangor,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.

Tambahnya, siasatan awal polis mendapati punca utama ugutan yang dibuat suspek yang kedua-duanya positif dadah jenis methamphetamine itu dipercayai berkaitan hutang yang dibuat mangsa.

Suspek kini direman selama lima hari sehingga Sabtu ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI