fbpx

Perlu kreatif demi survival perniagaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG individu perlu kreatif dalam memilih perniagaan kerana bidang itu terlalu luas. - Gambar hiasan
KHAIRIYAH HANAFI, WARTAWAN EKSEKUTIF

SETIAP hari, susuk tubuh seorang lelaki memegang dua plastik berisi jeruk mangga asam boi di persimpangan lampu isyarat menarik perhatian penulis.

Tanpa menghiraukan debu dan terik mentari, pemuda itu bergerak dari sebuah kenderaan ke sebuah kenderaan yang lain demi menjual makanan yang di­niaga. Ada yang membeli dan ada juga yang tidak mengendahkan kehadirannya.

Berdasarkan pemerhatian penulis, perniagaan lelaki itu mendapat sambutan. Jika tidak, mana mungkin persimpangan lampu isyarat itu menjadi tapak bisnes sejak pertengahan tahun lalu.

Kaedah yang digunakan pemuda itu juga bijak kerana dia tidak perlu mengeluarkan modal perniagaan besar.

Jika sebelum ini kaedah menjaja di tepi lampu isyarat sering dilihat di negara-negara jiran seperti Indonesia dan Vietnam, namun kini ia semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat di negara ini

Bukan sahaja di sekitar Lembah Klang, trend jualan di lampu isyarat seperti ini juga sudah mula dipraktikkan di negeri-negeri lain seperti Terengganu yang mana mereka menjual jeruk asam boi dengan memakai ­terendak.

Tidak ketinggalan di negeri Cik Siti Wan Kembang, kaedah sama turut digunakan yang mana peniaga menjual air minuman dan chicken stick.

Sesetengah individu mungkin malu untuk berniaga apatah lagi menjaja seperti itu. Namun, pada zaman serba mencabar ini, tiada apa yang hendak dimalukan asalkan pekerjaan itu halal.

Begitupun memetik laporan media sebelum ini, Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, lokasi tersebut menjadi tumpuan peniaga kecil memandangkan ia strategik dan mudah untuk mempamerkan barangan jualan.

Bagi pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Md. Daud Ismail, individu perlu kreatif dalam memilih perniagaan kerana bidang itu terlalu luas.

Tambahan pula memulakan perniagaan bukanlah satu perkara yang mudah kerana ia memerlukan ilmu, kemahiran dan mo­dal khusus.

“Dalam banyak hal, perniagaan dalam situasi covid-19 bukan untuk membina kerjaya baru yang telah dirancang tetapi se­perti kerjaya bidan terjun tanpa dirancang untuk memastikan kelangsungan hidup.

“Tetapi bak kata pepatah Melayu kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya,” katanya.

Terangnya, antara perniagaan kecil yang boleh dijalankan menggunakan bajet rendah ialah pembangunan laman sesawang bagi peniaga-peniaga dalam talian dan tutor secara dalam talian.

“Perniagaan aksesori telefon pintar juga boleh dijalankan kerana jumlah pengguna sedia ada yang besar dan peningkatan pengguna baru.

“Selain itu, individu juga boleh melakukan e-dagang seperti menjadi dropship.

“Mungkin juga menceburkan diri dalam bidang kesihatan de­ngan menjadi jurulatih bagi individu yang telah berumur akibat peningkatan jangka hayat penduduk dan kuasa beli golongan ini,” katanya.

Ujarnya lagi, jatuh bangun dalam perniagaan adalah lumrah bagi setiap individu yang berkecimpung di dalam bidang tersebut.

Bagaimanapun terangnya lagi, individu perlu berpegang pada prinsip alah bisa tegal biasa ke­rana cabaran menjadikan kita matang dan usaha yang berterusan akan membuahkan hasil.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI