fbpx
MINAT Azizah (kiri) untuk mempelajari kemahiran menulis kaligrafi Cina dikagumi oleh pelanggan-pelanggan Ho Chung (kanan) yang mengusahakan seni penulisan itu di Kulai, Johor. - RAJA JAAFAR ALI

Ekspresi kaligrafi Cina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

UNCLE buat apa tu?,” sapa seorang wanita Melayu, Azizah Mokhsan selepas melihat seorang lelaki Cina tua leka menulis di atas kepingan kertas berwarna merah di Jalan Susur 1, Taman Sri Kulai Baru, Kulai, Johor.

Lelaki tua yang bernama Cheng Ho Chung itu terus menoleh ke belakang seraya tersenyum manis membalas sapaan pekerja sebuah premis perniagaan elektrik itu.

“Tulis kaligrafi Cina,” balas Ho Chung, 83, yang kini sedang meniti usia senjanya dengan mengabdikan diri menghasilkan aksara tulisan Cina.

“Cantik uncle tulis, macam susah nak buat tu,” soal Azizah, 38.
“Tak susah pun kalau kita belajar betul-betul. Kamu nak belajar tulis?,” ujar Ho Chung.

Tidak berlengah lagi, Azizah terus menyatakan persetujuan untuk belajar memahami dan mendalami cara menghasilkan seni kaligrafi Cina.

Itu kisah yang berlaku dua tahun lalu sekali gus bermulalah kisah seorang wanita berketurunan Melayu berguru dengan lelaki berketurunan Tionghua itu.

Azizah memberitahu, pada awalnya dia berasa agak kekok kerana tidak mempunyai sebarang pengetahuan dalam bahasa Mandarin, apatah lagi kemahiran untuk menulis dan memahami tulisannya.

Namun katanya, setelah beberapa ketika mempelajari seni kaligrafi ini, dia mula memahami teknik asas penulisan seni kaligrafi Cina.

 

HO CHUNG tekun menyiapkan tempahan-tempahan pelanggan apatah lagi sewaktu menjelangnya Tahun Baru Cina.–

 

“Ketika saya mempelajari seni ini bersama Ho Chung, ramai pelanggannya terkejut dan kagum kerana tidak menyangka ada wanita Melayu yang berminat untuk mempelajari seni kaligrafi Cina.

“Dalam kalangan keluarganya sendiri, hanya seorang daripada tiga anak lelakinya yang mengikut jejaknya dengan mempraktik dan mengajar seni ini,” ujarnya.

Tambah Azizah yang berasal dari Kampung Bachang, Melaka itu lagi, sejak mula terlibat dengan penulisan kaligrafi berkenaan, dia telah mula mengikuti kelas bahasa Mandarin secara dalam talian bagi memperluas pemahamannya terhadap bahasa itu.

“Saya juga telah menguasai beberapa patah perkataan Mandarin yang biasanya dilakar sama ada pada kepingan kertas atau di tanglung, namun tidak sepenuhnya.

“Kebanyakan perkataan yang dilakar itu berbentuk positif seperti kemakmuran, kekayaan dan kesihatan,” ujarnya yang mengagumi tulisan Cina.

Berdasarkan sejarah, aksara tulisan Cina dikatakan wujud seawal 3,000 tahun yang lalu.

Menurut Ho Chung, kaligrafi Cina bukan digunakan sekadar alat untuk berkomunikasi melalui tulisan, tetapi juga sebagai alat untuk mengekspresikan diri dan menyampaikan emosi, hasrat dan pandangan daripada pembuatnya.

Jelasnya, suatu kaligrafi tidak hanya melambangkan sebuah huruf, tetapi juga dapat melambangkan kalimat, suasana hati, kejadian, puisi dan lukisan dalam satu wadah.

“Hal inilah yang paling membezakan kaligrafi Cina dan kaligrafi lainnya di mana kaligrafi Cina pada umumnya mengandungi makna falsafah yang lebih mendalam selain memiliki nilai seni dan keindahan.

“Isi kaligrafi Cina pula berupa pantun, puisi, mutiara kata, nama tempat, nama orang, cerita dan sebagainya,” katanya.

 

PENULISAN kaligrafi Cina mengandungi falsafah dan lazimnya berkisar mengenai nilai-nilai positif seperti kemakmuran, kejayaan dan kesihatan.

 

Terang bapa kepada empat cahaya mata itu, kaligrafi Cina juga memiliki aturan–aturan tersendiri dalam penulisannya.

Jelasnya, setiap karakter tulisan dalam kaligrafi diatur dan direncanakan mengikut aturan sehingga komposisinya seimbang dan sesuai dengan nilai-nilai budaya.

Mengikut kepercayaan masyarakat Cina, karya kaligrafi mengekspresikan pelbagai aspek penting dalam kehidupan seharian antaranya memberi lambang keindahan, kestabilan dan harmoni berasaskan turutan dan bentuk garis, kombinasi dan gerak tulisan tertentu.

Menghalau roh jahat

Terdapat lima jenis cara atau gaya penulisan aksara Cina dan tulisan ini berubah mengikut kesesuaian masa dari zaman kuno sehingga ke zaman moden.

Ho Chung berkata, kaligrafi meterai (seal script) merupakan tulisan kaligrafi Cina paling kuno yang mana tulisan dihasilkan mirip dengan bentuk makhluk aslinya.

“Contohnya, huruf yang memiliki makna burung berbentuk seperti burung itu sendiri. Sekarang, tulisan jenis ini jarang digunakan namun ada tempat dihati peminat seni.

“Seterusnya, jenis huruf kaligrafi rasmi (official script) adalah jenis huruf yang pertama kali ditulis menggunakan berus pada atas kertas dan merupakan bentuk awal kaligrafi yang dikembangkan,” katanya.

Ujar Ho Chung lagi, huruf kaligrafi formal (formal script) pula merupakan kaligrafi yang dihasilkan melalui pembaharuan daripada kaligrafi rasmi.

Menurutnya, huruf-huruf berbentuk tegak, lurus dan persegi pada umumnya digunakan untuk urusan formal seperti dalam papan nama, buku dan dokumen rasmi.

Jenis gaya penulisan seterusnya adalah kaligrafi berjalan (running script) ini memiliki peraturan seperti formal namun memiliki kelincahan penulisan seperti kaligrafi meterai.

Jenis penulisan ini banyak digunakan untuk surat peribadi dan tulisan kehidupan seharian sehingga kini.

 

SENI penulisan kaligrafi Cina direncanakan mengikut aturan sehingga komposisinya seimbang dan sesuai dengan nilai-nilai budaya.

 

Katanya, huruf ini mempunyai ciri penulisan cepat, coretan sederhana dan beberapa tulisan yang digabung dan ada juga yang dihilangkan sehingga sulit untuk dikenali bentuk asalnya.

Tambahnya, secara tradisionalnya, kaligrafi Cina ditulis pada medium kertas dengan menggunakan beberapa alatan seperti berus dan tinta atau dakwat berwarna hitam.

Menurut Ho Chung, kertas berwarna merah digunakan kerana mengikut kepercayaan warna merah terang memberi makna membawa tuah kepada mereka.

Jelasnya, berus yang biasa digunakannya sejak lima dekad lalu adalah jenis yang dihasilkan daripada bulu arnab atau kambing.

“Dakwat hitam pula ada yang jenis berkualiti ditempah khas dari China sebab kalau guna yang biasa, dakwat meresap ke dalam kertas akan jadi kembang, lalu jadi tidak cantik,” katanya.

Dalam pada itu, Ho Chung berkata, masyarakat Cina pada hari ini menggunakan kaligrafi Cina sebagai salah satu kertas ritual atau ucapan mengandungi kata-kata positif.

Jelasnya, menjelang perayaan Tahun Baru Cina, masyarakat Tionghua akan menempah kertas kaligrafi Cina untuk diletakkan di ruang tamu, pintu masuk rumah dan juga pejabat.

“Kami turut percaya, apabila kita letak kertas kaligrafi ini dapat menghalau roh-roh jahat daripada mengganggu keluarga,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN