fbpx

Kerajaan perlu sediakan 12 juta picagari LDV

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Adham

JASIN – Kerajaan perlu menyediakan 12 juta picagari khas Low Dead Volume (LDV) untuk melaksanakan suntikan vaksin Pfizer-BioNTech fasa pertama yang akan dilaksanakan pada 26 Februari ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, jumlah picagari itu diperlukan untuk melakukan suntikan ke atas enam juta rakyat di negara ini dengan setiap individu perlu disuntik sebanyak dua kali mengikut dos ditetapkan.

Katanya, sejumlah 20 peratus daripada populasi rakyat di negara ini akan menerima suntikan vaksin di bawah Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan tersebut dengan keutamaan diberikan kepada golongan barisan hadapan (frontliner).

“Setiap individu perlu disuntik sebanyak dua kali dengan jarak antara suntikan pertama dengan kedua adalah selama 21 hari. Melalui dua suntikan sahaja, vaksin ini boleh memberi kesan imun sebanyak 95 peratus.

“Jadi, kerajaan perlu menyediakan 12 juta picagari LDV ini untuk melaksanakan suntikan vaksin fasa pertama yang akan diberikan kepada enam juta rakyat Malaysia terdiri daripada golongan barisan hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas membuat tinjauan lapangan bagi penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), prosedur operasi standard (SOP) dan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) di sebuah kilang pemprosesan ayam di Serkam, di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Datuk Rahmad Mariman.

Adham berkata, pihak kerajaan yakin jumlah picagari khas itu dapat disediakan dalam jangka masa ditetapkan sebaik sahaja bekalan vaksin Pfizer-BioNTech diterima negara. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI