fbpx
PEMBELAJARAN dilakukan secara bersemuka atau online bergantung kepada situasi semasa. -MUHAMAD IQBAL ROSLI

K2

Akademi IT syarikat penerbangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PADA hari itu, Razlin Rahmat menemukan satu laporan di dalam talian yang menyatakan bahawa lebih separuh daripada penduduk dunia menggunakan internet dalam kehidupan harian.

Usai membaca laporan tersebut, minat gadis berusia 29 tahun itu untuk menambah ilmu pengetahuan dalam dunia digital semakin membuak-buak dengan harapan dirinya tidak ketinggalan dalam menguasai internet dan teknologi maklumat (IT).

Disebabkan itu, dia yang merupakan perancang latihan di syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia giat mencari kelas-kelas berkaitan ilmu digital secara dalam talian yang ditawarkan oleh penyedia-penyedia kursus pendek di sekitar Lembah Klang.

Dalam usaha pencariannya, gadis berasal dari Labu, Negeri Sembilan itu kemudian mendapat khabar bahawa syarikat tempat dia bekerja turut menyediakan kemudahan berkenaan.

Tanpa berfikir panjang, Razlin terus mendaftarkan diri dalam kursus pemasaran digital di Redbeat Academy, Bangsar, Kuala Lumpur.

Redbeat Academy mula dibuka secara rasmi pada pertengahan tahun lalu. Ia merupakan sebuah tempat pembelajaran digital yang ditubuhkan oleh syarikat penerbangan tambang murah negara, AirAsia dengan kerjasama Google Cloud.

 

REDBEAT Academy yang ditubuhkan oleh AirAsia dengan kerjasama Google Cloud menawarkan pelbagai kursus berkaitan teknologi maklumat kepada kakitangan AirAsia dan orang ramai.

 

Pada awalnya, kursus dan program yang ditawarkan oleh Redbeat Academy terhad kepada kakitangan AirAsia sebelum ia dibuka kepada masyarakat umum pada tahun ini.

“Saya sangat teruja apabila mengetahui AirAsia turut mempunyai sebuah akademi yang menawarkan pelbagai kursus berkaitan teknologi terkini kepada semua.

“Dengan menyertai akademi ini, saya berharap dapat meningkatkan pengetahuan dalam bidang IT yang menjadi satu keperluan dalam kehidupan seharian,” katanya ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.

RedBeat Academy menawarkan pelbagai kursus jangka pendek dan penuh berkaitan teknologi.
Antara kursus yang ditawarkan termasuklah Google Cloud Platform, Pemasaran Digital, UX Design, Keselamatan Siber, Kejuruteraan Perisian, Go Programming dan BINA Digital.

Razlin berkata, pada masa sama, dia juga mempunyai sebuah platform digital yang mengumpulkan jurusolek-jurusolek dari seluruh negara menerusi akaun Instagram, Majlis Kita-Majlis Kita.

Platform tersebut dapat membantu memudahkan orang ramai mencari jurusolek bersesuaian mengikut harga dan lokasi.

Justeru, ilmu-ilmu dipelajari oleh Razlin di Redbeat Academy banyak dipratikkan pada bisnes sampingan yang ditubuhkannya pada Julai tahun lalu itu.

 

REDBEAT Academy menyediakan ruang pembelajaran yang selesa buat para peserta kursus.

 

Selepas menyertai kursus jangka pendek di akademi tersebut, Razlin mengakui terdapat perubahan ketara pada platform berkenaan terutamanya jumlah pengikut dan tontonan.

“Antara ilmu yang dipelajari di sini termasuklah penjenamaan online, pemasaran sosial media dan corong pemasaran. Kebanyakan ilmu yang dipelajari saya manfaatkan untuk bisnes dalam talian. Selepas melakukan pemasaran yang betul, jumlah tontonan yang sebelum ini sekitar 2,000 pada setiap hantaran meningkat kepada lebih 10,000 tontonan. Ia sangat menakjubkan buat saya,” jelasnya.

Berhubung Redbeat Academy, sepanjang tahun lalu, akademi ini menerima penyertaan lebih 1,200 kakitangan AirAsia yang telah mempelajari kemahiran baharu dalam usaha membantu mereka menjana pendapatan baharu.

Rata-rata kakitangan yang terlibat merupakan pekerja di awan biru seperti juruterbang, kru kabin dan pengendali bagasi yang terjejas akibat pandemik ini yang turut mengenakan larangan rentas negeri dan negara pada masa ini.

Keselamatan siber

Salah seorang penuntut, Wan Abdul Muiz Khalil, 35, berpendapat, Redbeat Academy telah berjaya meningkatkan kemahirannya dalam bidang teknologi maklumat.

Dia yang mengambil kursus jangka pendek berkaitan keselamatan siber berkata, pengetahuan yang dipelajari di akademi berkenaan amat bermanfaat dalam aspek pekerjaan dan kehidupan seharian.

“Saya bertugas sebagai Pegawai Keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2. Jadi, ilmu yang dipelajari ini mempunyai kaitan dengan tugas harian saya.

“Dalam kehidupan seharian pula, ilmu keselamatan siber ini sangat penting dalam usaha mengelak diri menjadi mangsa penipuan online. Selepas sertai kursus ini, baru saya tahu pentingnya antivirus pada telefon pintar,” jelas lelaki dari ibu kota itu.

Bagi seorang lagi pelajar akademi, Lim Wei Lung, 33, ilmu yang diperoleh di akademi tersebut telah memberi idea kepadanya untuk membangunkan syarikat berkaitan keselamatan siber.

Wei Lung yang berkhidmat sebagai juruterbang AirAsia selama sedekad berkata, dia ingin memanfaatkan ilmu-ilmu ditimba bagi membantu masyarakat melindungi data peribadi mereka.

“Banyak kemahiran baharu yang saya dapat daripada tenaga pengajar berpengalaman di akademi ini. Dengan ilmu yang ada, saya boleh menjana pendapatan sampingan.

“Saya berhasrat untuk mewujudkan sebuah syarikat berkaitan keselamatan siber. Jadi, saya dapat menjana pendapatan sampingan ketika pandemik ini,” tegasnya.

Bagi kursus pendek, kelas berlangsung selama empat jam dalam tempoh enam hari dengan bayaran serendah RM1,000 bergantung kepada program.

Sementara itu, kursus penuh pula berlangsung selama tiga hingga enam bulan dengan bayaran bermula RM10,000 bergantung kepada jenis program.

Para pelajar boleh memilih sama ada mengikuti kursus secara penuh masa atau sambilan. Biasanya, kelas berlangsung dengan bersemuka, namun sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia diadakan secara dalam talian.

 

PARA peserta didedahkan dengan pelbagai ilmu terbaharu berkaitan teknologi maklumat daripada jurulatih bertauliah.

 

Pengarah Strategi dan Inovasi Redbeat Academy, Dr. Ram Gopal berkata, Redbeat Academy menjadi platform untuk AirAsia Digital dan Google Cloud berkongsi sumber serta pengetahuan kepada orang ramai.

Katanya, misi utama akademi tersebut adalah untuk memperkasa, menghubung dan mengembangkan bakat-bakat tempatan yang mampan dalam sektor IT.

“Kami sangat teruja untuk membuka akademi ini kepada semua bagi mendapatkan peluang pembelajaran daripada para pelatih hebat. Para pelatih terdiri daripada pemain industri profesional dan penghasil bakat-bakat yang mampu menyelesaikan masalah dengan menggunakan teknologi,” terangnya.

Menurut Ram Gopal lagi, pihaknya berharap orang ramai dapat mengambil peluang menyertai akademi ini bagi mempertingkat kemahiran baharu berkaitan IT.

Katanya, ilmu itu sangat penting bagi memastikan sesebuah masyarakat terus kekal relevan dan bersedia menghadapi era ekonomi digital.

“Antara kelebihan sesi kelas secara dalam talian bersama kami adalah akses untuk penggunaan alatan terkini dan rangka kerja baharu bagi para peserta.

Persekitaran simulasi yang disediakan juga adalah tercanggih dengan memberikan pengalaman nyata kepada peserta. Semua kemudahan seperti penggunaan data dan pembelajaran mesin disediakan oleh kami pada setiap kelas,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN