fbpx

Lakukan ujian saringan sebelum 28 Februari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kementerian Sumber Manusia (KSM) memberi tempoh sehingga 28 Februari ini kepada majikan untuk melakukan saringan Covid-19 terhadap pekerja asing masing-masing.

Mana-mana majikan yang gagal berbuat demikian boleh boleh menyebabkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) pekerja asing mereka tidak akan diperbaharui.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, majikan yang masih belum melakukan ujian saringan terhadap pekerja asing mereka digesa untuk segera berbuat demikian.

Beliau berkata, ujian saringan itu penting memandangkan berlakunya peningkatan kes Covid-19 baru-baru ini termasuk kluster berkaitan tempat kerja yang semakin membimbangkan.

“Majikan adalah diingatkan sekali lagi untuk wajib memastikan pekerja asing yang digajikan mereka melakukan ujian saringan Covid-19 bagi membendung penularan wabak pandemik Covid-19.

“Arahan ini adalah selaras dengan Seksyen 11 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Katanya, operasi dan pemeriksaan dilakukan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) mendapati masih banyak majikan yang gagal memastikan pekerja asing yang digajikan mereka membuat ujian saringan Covid-19 meskipun arahan telah dikeluarkan untuk berbuat demikian.

Saravanan berkata, majikan yang menanggung kos saringan Covid-19 akan mendapat potongan cukai berganda bagi bayaran kos saringan pekerja yang dibuat sepanjang tahun 2021.

Sebelum ini, Saravanan dilaporkan berkata, saringan Covid-19 pekerja asing diperluaskan ke seluruh negara mulai 2 Februari lalu.

Perluasan saringan itu dibuat susulan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 13 Januari lalu dan pengumuman bantuan Pelindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) oleh Perdana Menteri. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI