BARCELONA – Ketua jurulatih Barcelona, Ronald Koeman berjanji akan menghukum dalang yang membocorkan kontrak Lionel Messi selepas pendedahan dibuat salah sebuah akhbar berpengaruh di Sepanyol, El Mundo.
El Mundo melaporkan perjanjian semasa Messi, 33, bersama The Catalan dianggarkan bernilai €555 juta (RM2.72 bilion) termasuk penerimaan gaji tahunan berjumlah €138 juta (RM676.6 juta).
Barcelona dalam satu kenyataan menjelaskan, akan mengambil tindakan undang-undang terhadap El Mundo yang bertindak mendedahkan perincian kontrak semasa pemenang enam Ballon d’Or itu.
Dalam masa sama, Koeman, 57, menarik nafas lega kerana pendedahan kontrak tersebut tidak menjejaskan fokus Messi yang masih berjaya membantu Barcelona meraih kemenangan 2-1 ke atas Athletic Bilbao dalam aksi La Liga di Camp Nou awal pagi semalam.
“Sesiapa yang membocorkan kontrak Messi tidak mempunyai masa depan di Barcelona. Apa yang diterbitkan dalam laporan itu adalah satu niat jahat terhadap Messi.
“Pasukan ini berada pada tahap terbaik sekarang dengan memenangi banyak perlawanan. Kami cuba menyelamatkan musim ini tetapi ada pihak yang mahu melihat Barcelona dan Leo (Messi) tumbang.
“Mujur Messi tidak terkesan dengan perkara ini. Sebaliknya, beliau terus menunjukkan kualitinya sebagai seorang pemain bola sepak yang hebat dengan membantu pasukan cuba memenangi kejuaraan,” katanya.
Messi, 33, berjaya meledak satu gol menerusi sepakan percuma menarik pada minit ke-20 untuk merakam jaringan peribadi yang ke-650 bersama Barcelona dalam semua kejohanan sejak 2004/2005. – AGENSI














