TAMPIN – Gara-gara ingin mengelak seekor kerbau di tengah jalan, sebuah lori tanker terbabas di selekoh Kampung Chenaga, Jalan Repah-Kuala Pilah, dekat sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.00 pagi itu, mangsa iaitu lelaki berusia 25 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan serius.
Menurut penduduk, Nizar Ahmad, 56, ketika kejadian dia masih belum tidur dan dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat.
“Saya intai dari tingkap rumah dan ternampak cahaya lampu dari tebing sungai yang hanya berjarak 50 meter dari rumah.
“Saya segera keluar untuk menyuluh lokasi berkenaan dan seorang lelaki berdiri di atas kepala lori meminta pertolongan,” katanya ketika ditemui di Kampung Chenaga, dekat sini, tadi.-K! ONLINE














