fbpx

PM lancar Program 5MY khas buat warga Wilayah Persekutuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhyiddin ketika memberikan perutusan khas Hari Wilayah sebentar tadi.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan Program Kemiskinan Bandar (5MY) sebagai inisiatif yang inklusif dalam menangani isu kos sara hidup, kelangsungan hidup rakyat serta membasmi kemiskinan di Wilayah Persekutuan.

Program 5MY itu meliputi aspek pekerjaan dinamakan sebagai MYJob@Wilayah, persekolahan (MYSchoolBus@Wilayah), barangan keperluan asas (MYGrocer@Wilayah), makanan (MYFood@Wilayah) dan perubatan (MYMedic@Wilayah).

Beliau berkata, lebih 35,000 orang dan ketua isi rumah serta 331 perumahan kos rendah di Kuala Lumpur telah menerima bantuan langsung melalui Program 5MY sejak ia diperkenalkan sekitar pertengahan tahun lalu.

Menurutnya, sebagai usaha menambah baik inisiatif tersebut, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) juga akan mula menyumbangkan 5,750 kampit beras secara percuma kepada penduduk di Wilayah Persekutuan melalui program MYBeras@Wilayah.

“Bantuan secara mingguan ini akan diagihkan kepada penduduk daripada kumpulan keluarga B40 di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bermula hari ini bagi meringankan beban warga Wilayah Persekutuan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Inisiatif ini adalah kerjasama KWP dengan Yayasan Wilayah Persekutuan dan Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan,” katanya ketika menyampaikan perutusan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2021 di saluran Radio Televisyen Malaysia hari ini.

Muhyiddin berkata, KWP akan melipatgandakan usaha dengan meneliti semula sasaran penerima bantuan bagi mengelakkan individu yang layak tidak tercicir.

Ini kerana, katanya, bantuan lebih banyak diberikan kepada penghuni Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI