fbpx

Perniagaan maya tampung kerugian pasca Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
DALIZA ARIFFIN, PENOLONG PENGARANG BERITA

Benar kata rakan penulis bahawa ketika negara dilanda pandemik Covid-19, kaum wanita tidak perlu berbelanja lebih untuk membeli khususnya gincu bibir dan bedak muka.

Pelitup muka sudah memadai apabila berada di luar rumah kerana apa yang difokuskan adalah untuk memiliki tahap kesihatan fizikal dan mental yang baik.

Menyedari perubahan norma baharu itu, sebuah syarikat kecantikan popular yang menguasai pasaran Asia telah melaksanakan kajian dan pembangunan untuk melancarkan kosmetik yang bersesuaian dengan kulit muka berpeluh disebabkan pemakaian pelitup muka sepanjang hari.

Cepat benar pasaran mengadaptasi perubahan gaya hidup pelanggan pada masa sekarang dan pelaburan jutaan ringgit dibuat syarikat mega untuk memenuhi kehendak tersebut.

Sebenarnya, banyak rahmat tersirat dan tersurat di balik nama Covid-19 itu kerana bagi usahawan, pandemik tersebut berjaya mempercepatkan satu lagi transformasi perniagaan ke arah maya yang mana sebelum ini usahawan hanya membincangkannya di peringkat mesyuarat bulanan.

Beberapa pemilik syarikat makanan dan minuman yang ditemui penulis baru-baru ini memaklumkan bahawa syarikat mereka berjaya melaksanakan segmen perniagaan maya sehingga mampu mengaut hasil yang baik bagi menampung kerugian yang dialami ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Menurut mereka, idea perniagaan maya sudah lama dicadangkan, tetapi tidak menjadi satu keperluan untuk memulakannya, namun apabila PKP dilaksanakan pada Mac tahun lalu, idea itu berjaya direalisasikan.

Malah, melalui cabang perniagaan baharu itu, peniaga mampu membuka lebih banyak kios maya bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin bertambah.

Trend tempahan makanan dan minuman secara online oleh masyarakat dan mendapat sokongan baik daripada syarikat penghantaran menjadi antara faktor utama penyumbang kepada kejayaan mereka.

Lebih menarik perniagaan maya itu mampu memberi penjimatan dari aspek kos penyewaan, pengubahsuaian premis dan penambahan kakitangan.

Ini kerana perniagaan maya beroperasi di sebalik outlet fizikal syarikat yang mana pelanggan tidak akan dapat melihat pengoperasiannya di luar tetapi melalui aplikasi di dalam platform media sosial, pelanggan rambang mata memilih menu makanan dan minuman yang disediakan.

Dalam suasana sukar kini, peniaga yang benar-benar ‘celik’ mata dan hati, pasti akan diberi ilham keluar daripada kemelut kewangan dan berjaya meneroka peluang baharu bagi meneruskan perjuangan masa depan.

Kini bukan masa untuk mengeluh, menadah tangan memohon bantuan tanpa berusaha untuk bangun semula.

Pasti ada jalan keluar daripada permasalahan tersebut kerana kini sudah ada testimoni yang boleh dicontohi usahawan lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI