RANTAU PANJANG – Kebanyakan ejen yang menguruskan pernikahan rakyat Malaysia di Narathiwat, Thailand mendedahkan mereka membawa sekurang-kurangnya seorang pegawai kanan kerajaan atau swasta untuk berpoligami di kawasan Selatan Thailand itu setiap bulan.
Seorang ejen nikah, Azrul, 52, berkata, dia sudah membawa hampir seramai 20 orang pegawai kanan untuk berpoligami sejak dua tahun lalu.
Menurutnya, ramai golongan pegawai kerajaan dan swasta itu pada awalnya menyatakan untuk berpoligami di Thailand selepas pandemik Covid-19 beransur pulih baru-baru ini.
“Pada awalnya, saya membawa dan menguruskan seorang pegawai kanan kerajaan untuk berpoligami di Narathiwat pada hujung 2021. Selepas hampir dua minggu, saya mendapat panggilan telefon daripada rakannya yang bekerja di jabatan lain untuk bernikah di sana
“Kebanyakan pegawai-pegawai yang berpoligami di Thailand memiliki kemampuan kewangan untuk bernikah. Mereka ini berusia dalam lingkungan 40-an hingga 50-an dan sudah mempunyai anak-anak yang sudah besar.
“Cuma, mereka takut untuk menyatakan keinginan untuk berpoligami atau niat untuk berkahwin dua kepada isteri pertama. Jadi, mereka memilih untuk bernikah di Siam sebagai alternatif untuk menghalalkan hubungan dengan kekasih atau teman wanita yang lebih muda,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Azrul yang berpengalaman lebih 10 tahun sebagai ejen nikah memberitahu, kebanyakan pegawai kanan kerajaan yang ingin berpoligami di Siam datang dari Lembah Klang, Johor, Negeri Sembilan dan Terengganu.
Menurutnya, pasangan mereka juga tinggal jauh dan jarak dari Narathiwat ke tempat asal yang lebih daripada dua marhalah itu sekali gus memenuhi syarat pernikahan luar mukim.
“Saya menguruskan perkahwinan mereka ini mengikut prosedur apabila menggunakan pasport dan urus dokumen-dokumen penting untuk pendaftaran di Narathiwat,” jelasnya.














