fbpx

Pembantu tadbir rugi RM125,498 diperdaya Macau Scam 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

ALOR SETAR – Seorang pembantu tadbir amanah mengalami kerugian sebanyak RM125,498.25 akibat diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan polis pada 6 Januari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintendan Elias Omar memberitahu, mangsa yang merupakan wanita berusia 46 tahun menerima panggilan telefon daripada Noraini Daud yang menyamar sebagai pegawai LHDN.

“Suspek mendakwa mangsa mempunyai tunggakan cukai sebanyak RM38,600.90 dan memaklumkan kesemua akaun bank mangsa akan dibekukan selain akan dikenakan tindakan undang-undang sekiranya tidak membuat pembayaran.

“Mangsa menafikan perkara tersebut sebelum suspek menyambungkan kepada pihak lain kononnya polis bagi laporan penafian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, mangsa seterusnya dimaklumkan oleh individu menyamar polis itu bahawa akaun mangsa terlibat dalam aktiviti penyeludupan dadah dan pengubahan wang haram sebanyak RM2.28 juta.

“Wanita terbabit turut menerima beberapa panggilan berkaitan perkara sama sehingga dia berasa takut dan membuat pinjaman bank sebanyak RM120,000,” ujarnya.

Menurut Elias, mangsa juga diminta oleh suspek untuk membuat kad pengeluaran wang automatik (ATM) baharu serta membatalkan perbankan online.

“Dia juga diberikan link dan kata laluan bagi tujuan siasatan pihak mereka yang mana link tersebut memaparkan pautan daripada ‘Bank Negara Malaysia’.

“Mangsa kemudian diarahkan mengisi segala maklumat peribadi termasuk butiran kad ATM dan pada masa sama dia diugut tidak boleh mendedahkan  sebarang maklumat semasa siasatan dijalankan,” jelasnya.

Tambahnya, mangsa bertindak menghubungi suspek bagi bertanyakan tentang siasatan kes tersebut pada Selasa lalu, namun dia tidak berpuas hati sebelum membuat semakan di sebuah bank di Jitra dekat sini.

“Dia kemudian mendapati wang dalam akaun miliknya sebanyak RM125,498.25 telah hilang melibatkan 13 transaksi ke akaun pihak ketiga,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI