fbpx
TAJUDDIN biasanya menyiapkan rehal-rehalnya pada waktu petang selepas pulang daripada menoreh getah.

K2

Keindahan rehal berukiran awan larat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TANGAN yang digunakan oleh Tajuddin Awang, 48, dari Kampung Tersang, Rantau Panjang, Kelantan untuk menoreh getah umpama ‘senaman’ buat dirinya dalam melakukan kerja-kerja pertukangan dan ukiran bagi menghasilkan rehal daripada kayu nangka.

Tugasan rutin itu dilihat telah ‘melembutkan’ lagi tangan Tajuddin sekali gus melancarkan kerja-kerja memotong, menebuk, memahat dan melakukan ukiran bercorak awan larat pada kepingan kayu nangka sebelum menjadi sebuah rehal yang sempurna.

Tempoh antara tiga hingga empat jam sehari yang diperuntukkan untuk kerja-kerja mengukir corak berbentuk awan larat di atas sekeping kayu nangka bagi menghasilkan rehal bukanlah satu tugas mudah.

Ia memerlukan ketahanan mental yang tinggi kerana kerja-kerja ukiran perlu dilakukan dengan penuh cermat dan berhati-hati termasuklah memotong, memahat serta menebuk lubang pada kayu nangka.

Sungguhpun tampak ‘berpeluh’ untuk menghasilkan rehal, namun Tajuddin tetap tenang melakukan kerja-kerja itu bagi memastikan semuanya sempurna.

Pengalaman lebih sedekad dalam kerja-kerja pertukangan dan ukiran kayu memberikan kelebihan kepada Tajuddin untuk menyusun ‘rentak’ dan ‘irama’ menghasilkan kerusi Al-Quran itu.
Difahamkan, Tajuddin merupakan satu-satunya pengukir rehal dengan ukiran awan larat di Kelantan.

 

KEHALUSAN seni ukiran yang dihasilkan oleh Tajuddin.

 

Awan larat merupakan satu motif atau corak yang sinonim dengan ukiran Melayu Kelantan pada kepala kapal, wau dan sebagainya. Ia merupakan satu corak ukiran bersambung-sambung serta dipenuhi motif alam seperti daun, buah dan bunga berinsipirasikan awan yang bergerak.

“Walaupun sudah berpengalaman, namun saya tetap berhati-hati dalam melakukan kerja bagi memastikan rehal yang dihasilkan berkualiti.

“Nak buat sebuah rehal bukan mudah, ia bermula daripada proses memotong kayu, melakar corak dan mengukir. Kesemua itu memerlukan komitmen tinggi,” katanya kepada K2.

Tajuddin yang merupakan bapa kepada empat cahaya mata itu mendedahkan rupa rehal yang dihasilkan itu sebenarnya berasal dari negara jiran, Thailand.

Bentuk kerangka rehal itu yang seolah-olah tiga lapis dilihat di Thailand dan dengan kepakarannya membuat ukiran, Tajuddin telah memperindah rehal versinya dengan ukiran awan larat.

Katanya, untuk menghasilkan rehal itu dia pernah ‘kecundang’ sebanyak sepuluh kali sebelum dapat menguasai selok-belok pembuatan.

 

KERJA-kerja membuat ukiran pada rehal kayu nangka dilakukan dengan penuh cermat dan berhati-hati.

 

“Kegagalan sebelum itu menjadi pembakar semangat kepada saya untuk mengkaji selok-belok membuat rehal dan akhirnya berjaya. Saya tiru rehal itu kerana tertarik dengan reka bentuknya yang unik,” ujarnya.

Tajuddin mendedahkan dia mengambil masa sebulan untuk menyiapkan sebuah rehal yang ‘sarat’ dengan corak awan larat.

Katanya, hal ini kerana kerja-kerja pertukangan itu dilakukan pada waktu petang selepas selesai menoreh getah pada sebelah pagi.

“Biasanya kerja-kerja ini akan dimulakan selepas selesai makan tengah hari dan solat Zuhur. Lazimnya, saya memperuntukkan masa antara tiga hingga empat jam untuk kerja-kerja pertukangan itu. Cuma jika saya mempunyai banyak tempahan dan perlu lebih tumpuan untuk melakukannya, saya boleh menyiapkan dua unit rehal dalam tempoh sebulan,” katanya yang pernah bekerja lebih setahun dengan Kraftangan Malaysia sekitar tahun 1980-an dahulu.

Bahkan Tajuddin turut mempelajari seni ukiran kayu daripada pihak Kraftangan Malaysia semasa berusia belasan tahun.

Jelas Tajuddin, bekalan kayu nangka didapati daripada pokok-pokok nangka di sekitar kampungnya.

 

TAJUDDIN sudah lama berkecimpung dalam bidang ukiran bahkan pernah berkhidmat dengan Kraftangan Malaysia pada tahun 1980-an.

 

“Penduduk kampung yang mahu menjual kayu nangka biasanya akan datang kepada saya kerana mereka mengetahui saya merupakan pengusaha rehal daripada kayu tersebut,” katanya.

Menurutnya, kayu nangka digunakan kerana sesuai untuk dibuat ukiran dan mempunyai ketahanan yang baik sebagai sebuah rehal.

Tajuddin menerangkan, selepas membelah kayu nangka, belahan-belahan kayu itu akan dijemur selama dua minggu bagi memastikan kayu benar-benar sudah sesuai untuk dibuat ukiran.

Untuk proses mengukir, dia akan melukis atau melakarnya terlebih dahulu dengan pensel sebelum memahatnya menggunakan pisau ukir.

“Ukiran akan dilakukan dengan penuh teliti. Apapun sebenarnya yang paling mencabar dalam menghasilkan rehal ini ialah semasa membuat kerangka rehal kerana memerlukan ketepatan simetri berbanding semasa membuat ukiran,” katanya.

Selepas rehal siap diukir, rehal tersebut akan dicantikkan lagi dengan kemasan syelek bukan sahaja untuk menyerikannya tapi untuk membolehkan kayu rehal tahan lebih lama.

Tajuddin memberitahu, dia sentiasa berhubung dengan pihak Kraftangan Malaysia Negeri Kelantan kerana banyak juga tempahan diterima daripada pihak tersebut selain mereka membantu memasarkan produknya.

 

TAJUDDIN melakar corak awan larat menggunakan pensel pada kerangka rehal yang telah dibuat daripada kayu nangka sebelum menorehnya bagi membentuk ukiran.

 

“Saya pun adakalanya tidak menang tangan untuk menyiapkan tempahan. Orang ramai yang berminat pula biasanya akan datang sendiri ke rumah saya,” katanya yang tidak menjual di media sosial atau secara dalam talian.

Tajuddin berkata, dia sama sekali tidak menyangka kerja sambilan yang dijalankannya itu memberikan pulangan lumayan.
Katanya, rehal yang penuh corak ukiran itu dijual dengan harga RM500, manakala kosong tanpa
ukiran RM200.

“Alhamdulillah tempahan yang saya terima di luar jangkaan. Kebanyakan rehal ini dijadikan sebagai hantaran perkahwinan, hiasan dan cenderamata.

“Apa yang membanggakan, ‘air tangan’ saya ini sudah sampai ke tanah suci Mekah apabila ada yang menempahnya sebagai cenderamata dari Malaysia untuk diberikan kepada mana-mana jemaah haji,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN