fbpx
FILEM All My Life mengisahkan tentang dugaan pasangan suami isteri, Jennifer dan Sol.

Keutuhan cinta tragis All My Life

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAYANGKAN apakah yang akan dilakukan sekiranya kita tahu detik waktu menjelangnya kematian diri sendiri. Adakah detik berkenaan akan diraikan sama seperti sambutan kelahiran yang diadakan pada setiap tahun?

Dalam filem All My Life, dinyatakan bahawa secara purata kita memiliki jangka hayat sebanyak 27,375 hari atau lebih tepat pengiraannya ialah 75 tahun.

Jika sememangnya garis takdir menentukan bahawa jangka hayat seseorang manusia hidup lebih 75 tahun, maka mereka dikategorikan sebagai individu yang bertuah.

Begitulah yang ditafsir dalam karya arahan Marc Meyers terbitan Universal Pictures, Broken Road Productions dan Perfect World Pictures.

Pada bahagian awal penceritaan, All My Life dilihat serupa seperti naskhah romantik lain dengan permulaan yang mendatar dan santai.

Timbul juga sedikit kebosanan kerana situasi yang digambarkan tidak ubah seperti kisah dongeng fantasi bahagia walhal filem berkenaan diinspirasikan daripada sebuah kisah benar.

Menceritakan mengenai Jennifer (Jessica Rothe) yang bertemu tanpa sengaja dengan Sol (Harry Shum Jr.) di sebuah bar ketika dia bersama dengan dua orang rakannya.

Bermula dengan cinta pandang pertama, Jennifer kelihatan sangat tertarik dengan Sol sehinggakan dia meluahkan perasaan terhadap lelaki itu.

Selepas itu, hubungan mereka berjalan dengan lancar dan sempurna sehingga membuatkan penonton ternanti-nanti apakah inti pati filem kerana plot penceritaan All My Life dilihat tiada sebarang konflik.

Hidup dan mati

Asyik dibuai dengan rasa bahagia hampir 40 minit tayangan, transisi emosi penonton bertukar apabila Sol disahkan menghidap penyakit kronik.

Berita tersebut menjadi satu tamparan hebat buat Jennifer dan Sol kerana kedua-duanya merancang untuk mendirikan rumah tangga. Pasangan itu kemudiannya mula menunjukkan reaksi berbeza terhadap hubungan terutama apabila Sol membuat keputusan untuk membatalkan perkahwinan dan berpisah.

Pada waktu itu, permainan emosi jelas ditonjolkan apabila masing-masing berusaha mempertahankan pendirian di mana Jennifer memilih untuk meneruskan perkahwinan, manakala Sol pula sebaliknya.

Melihat kepada kekuatan lakonan, Rothe harus diberi pujian kerana dia kelihatan lebih asli dalam mempamerkan emosi berbanding Harry. Jelas kelihatan menerusi babak perbalahan antara Jennifer dan Sol dalam membuat keputusan sama ada ingin mereka meneruskan perkahwinan ataupun tidak.

Cuma itu tidak bermakna Harry tidak menyerlah kerana pada saat dia menonjolkan emosi pada skala sederhana, lelaki itu mampu menzahirkan perasaan dengan cemerlang.
Pada masa sama, filem ini turut menyerlahkan hubungan baik antara sahabat yang layaknya untuk digelar ahli keluarga iaitu rakan baik Jennifer dan Sol yang berusaha untuk menyatukan pasangan itu.

Filem ini juga boleh dijadikan teladan bagi penonton dalam soal keterbukaan menerima perkhabaran buruk yang tidak hanya difokuskan kepada sudut pandang negatif.
Memiliki sifat sentimental, filem All My Life membawa penonton menelusuri kisah realiti pasangan berkahwin yang menerima takdir bahawasanya hubungan mereka tidak akan kekal lama kerana dipisahkan oleh maut.