AUGUSTA, Georgia – Rory McIlroy mengukuhkan statusnya sebagai pemain golf terhebat sepanjang zaman apabila muncul juara Masters buat kali kedua berturut-turut.
Bintang golf Ireland Utara itu menamatkan saingan dengan kelebihan satu pukulan di hadapan pemain nombor satu dunia, Scottie Scheffler, awal pagi semalam.
Kejayaan tersebut menjadikan Mcllroy pemain keempat dalam sejarah yang berjaya mempertahankan ‘Jaket Hijau’ di Augusta National, menyertai legenda dunia seperti Jack Nicklaus, Sir Nick Faldo dan Tiger Woods.
McIlroy, 36, melakukan satu di bawah par 71 pada pusingan akhir untuk menamatkan kejohanan dengan keseluruhan 12 di bawah par.
“Saya seakan tidak percaya. Saya terpaksa menunggu 17 kali untuk mendapatkan Jaket Hijau yang pertama dan kini saya memenangi gelaran kedua secara berturut-turut.
“Segala kesabaran saya selama bertahun-tahun akhirnya membuahkan hasil,” ujar McIlroy yang menyifatkan kemenangan tahun lalu memastikan keadaannya diri lebih tenang kali ini.
Lebih manis, kemenangan tersebut turut menyaksikan McIlroy meraih gelaran major keenam dalam kariernya, sekali gus menyamai pencapaian Faldo.
Pada saingan itu, cabaran utama McIlroy hadir daripada Scheffler yang melakukan kebangkitan luar biasa, namun terpaksa akur di tempat kedua dengan 11 di bawah par.
Meskipun gagal memintas McIlroy, Scheffler mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi pemain pertama sejak 1942 yang mencatatkan pusingan tanpa sebarang ‘bogey’ sepanjang hujung minggu di Masters. -AGENSI














