fbpx
SEORANG anggota bomba zon Shah Alam melakukan proses sanitasi di Sekolah Rendah Agama Kota Damansara Lima, Kota Damansara, Selangor semalam. – ZULFADHLI ZAKI

Tiada ‘drama’ air mata tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Tiada ‘drama’ air mata oleh murid-murid tahun satu dan tidak kelihatan kelibat ibu bapa menunggu di luar pagar melihat keadaan anak mereka pada hari pertama persekolahan.

Pandemik Covid-19 ternyata telah menukar sesi persekolahan 2021 di seluruh negara pada hari ini menjadi suram apabila tiada kelibat murid, guru dan ibu bapa terutama di sekolah rendah jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelum ini.

Hari ini, kira-kira 4.5 juta pelajar sekolah rendah dan menengah diarahkan menjalani sesi pembelajaran secara online ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di tujuh negeri.

Mulai Jumaat ini, PKP akan diaktifkan di seluruh negara.

Kerajaan menetapkan hanya kira-kira 524,000 pelajar yang menduduki peperiksaan dibenarkan mengikuti pembelajaran secara bersemuka.

Seorang guru yang enggan dikenali berkata, perbezaan amat dirasai apabila hari pertama persekolahan dibuat secara maya sekali gus mengurangkan kemeriahannya.

“Memang tidak dinafikan, suasana persekolahan kali ini suram. Jika tahun lalu, hari pertama begitu meriah, lebih-lebih lagi apabila ada orientasi pelajar tahun satu.

“Ketika itu, kita dapat melihat pelbagai telatah pelajar terutamanya anak-anak tahun satu selain bertemu semula rakan-rakan guru dan murid-murid,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Bagaimanapun tambah guru yang bertugas di ibu negara itu, keadaan itu bukan penghalang untuk pendidik terus memberikan yang terbaik.

“Walaupun sesi pembelajaran esok (hari ini) secara kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), namun elemen sesi pertama persekolahan tetap kami terapkan.

“Sebagai contoh, murid-murid dan guru-guru akan terlibat dengan perhimpunan rasmi secara maya selain orientasi tahun satu turut menggunakan kaedah sama,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi guru, Safarina Saad berkata, dia begitu bersemangat memulakan sesi persekolahan 2021 kerana mementingkan pretasi pelajaran pelajarnya.

“Bagi pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mereka hanya ada lebih kurang tiga minggu sahaja sebelum peperiksaan dan tempoh itu begitu penting untuk pecutan terakhir.

“Saya percaya masih ada pelajar yang sedang dibuai mimpi dan saya tidak sabar untuk kejutkan mereka dengan pendekatan dan modul yang telah disediakan,” ujarnya.

Bercakap mengenai suasana hari pertama persekolahan, Safarina memberitahu, pelajar SPM 2020 mungkin tidak berdepan masalah ekoran telah didedahkan dengan prosedur operasi standard sebelum ini.

Sementara itu, seorang pelajar, Nur Farah Nabila Roslan, 18, berharap sesi persekolahan secara bersemuka membantunya membuat persediaan terakhir dalam menghadapi SPM 2020.

“Sebelum ini, belajar di rumah suasananya berbeza dan lebih kepada konsep sendiri, apabila bersemuka, saya boleh terus bertanya kepada cikgu jika tidak memahami sesuatu perkara,” ujarnya.

Bagi Nor Laili Izzati Saizam, 17, pula, dia memberitahu, belajar di rumah agak sukar, lebih-lebih lagi apabila mempunyai masalah jaringan internet selain ada adik kecil yang mengganggu ketika proses PdPR.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN