fbpx

Hanya 3kg minyak bagi satu transaksi belian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menetapkan supaya setiap pelanggan dibenarkan membeli hanya tiga bungkusan minyak masak pek 1 kilogram (kg) bagi setiap transaksi, berkuat kuasa semalam.

Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP Azman Adam berkata, kementerian mengarahkan penjual runcit supaya menghadkan pembelian minyak masak berkenaan.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan kestabilan bekalan minyak masak berkenaan khususnya dalam cabaran situasi pandemik Covid-19 ini.

“Kerajaan komited dalam memastikan kestabilan bekalan minyak masak itu bagi kegunaan isi rumah dengan harga yang ditetapkan iaitu RM2.50 sekilogram.

“Minyak masak dalam bungkusan 1 kg adalah  barangan kawalan yang diberikan subsidi di bawah Program Skim Rasionalisasi Harga Minyak Masak (COSS),” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Katanya, pihaknya berharap ketetapan itu dapat  memastikan lebih ramai pengguna berpeluang memperoleh bekalan minyak masak yang diberikan subsidi kerajaan.

Azman berkata, pihaknya juga mengingatkan kepada penjual runcit bahawa kebenaran itu adalah terpakai kepada minyak masak pek bungkusan 1 kg sahaja dan perlu dijual dengan harga RM2.50 sekilogram.

Menurutnya, tiada had pembelian perlu dikenakan ke atas minyak masak bukan dalam pek bungkusan 1 kg.

“Pada masa yang sama, KPDNHEP kekal konsisten mengawal selia aktiviti perdagangan dan pengedaran di negara ini bagi memastikan rangkaian pengedaran pemborongan dan peruncitan tidak terjejas sekali gus memberi keyakinan kepada rakyat bahawa bekalan barangan keperluan asas dan penjagaan diri mencukupi di pasaran.

“Arahan ini juga memastikan tiada perlakuan peniaga yang mengambil kesempatan memanipulasi harga dan bekalan minyak masak semasa pandemik Covid-19,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI