fbpx

Cef Nan perlu RM50,000 kos pembedahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN terkini Adnan yang sedang menerima rawatan di Hospital Putrajaya semalam.

PUTRAJAYA – Tanggungjawab sebagai ketua keluarga kini terpaksa digalas Sabrina Adnan, 37, selepas bapanya, Adnan Zainal, 65, dikhuatiri lumpuh separuh badan akibat ditimpa kemala­ngan dalam satu kejadian di Persiaran Multimedia, Cyberjaya dekat sini pada 16 Januari lalu.

Difahamkan, Adnan atau Cef Nan yang merupakan pemilik kedai Sushinan di Malakat Mall, Cyberjaya cedera parah selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan de­ngan sebuah teksi di persimpangan lampu isyarat Persiaran Multimedia.

Berkongsi perkara itu, Sabrina yang merupakan anak sulung daripada dua beradik berkata, ketika mendapat berita kemala­ngan itu, dia terkejut dan berasa sangat sedih lebih-lebih lagi diberitahu bahawa bapanya me­ngalami kecederaan parah.

Menurut Sabrina, hatinya bertambah pilu dan hiba selepas melihat keadaan bapanya yang tidak dapat mengerakkan kedua-dua belah kaki dipercayai akibat kecederaan pada bahagian tulang belakang.

“Semalam (kelmarin) ketika saya berjumpa dengan ayah, dia ada bertanya kenapa dia tidak boleh bergerak dan kakinya tiada rasa apa-apa.

“Hati saya sungguh pilu dan sedih mendengar pertanyaan itu namun saya memberitahu kea­daan (kaki) akan kembali pulih selepas menjalani pembedahan nanti,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sementara itu, Sabrina berkata, dia reda menerima ketentuan Allah dan perlu kuat untuk memikul tanggungjawab bersama suami untuk mengambil alih tugas menjaga ibunya, Safiah Nor, 61 dan seorang adik lelaki, Aiman, 20, sementara ayahnya menerima rawatan di hospital.

“Alhamdulillah pembedahan berjalan lancar. Saya dimaklumkan doktor telah memasang empat hingga lima skru di bahagian tulang belakang ayah.

“Doktor juga menjalankan rawatan untuk rahangnya yang patah selain luka koyak di bahagian pipi bawah dan di bahagian kening,” katanya.

Dalam pada itu, difahamkan, Adnan memerlukan dana antara RM20,000 hingga RM50,000 bagi menampung kos pembedahan dan rawatan susulan.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank Adnan Zainal (114094000543) atau akaun Maybank Sabrina Adnan (162254779839).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI