fbpx

Tidak pakai pelitup muka rekod kesalahan paling tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Seramai 250 individu dikenakan tindakan kerana tidak memakai pelitup muka sekali gus mencatatkan antara kesalahan tertinggi yang direkodkan berkaitan kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah tersebut merupakan sebahagian daripada keseluruhan 785 individu yang dikenakan tindakan dengan 765 dikompaun, 19 direman manakala seorang dijamin.

“Sebanyak 165 individu pula dikenakan tindakan kerana gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal, gagal menyediakan peralatan rekod butiran pelanggan (137), premis beroperasi lebih masa atau tanpa kebenaran (38), rentas daerah atau negeri tanpa kebenaran (31) dan lain-lain (164).

“Tindakan tersebut diambil hasil pemeriksaan Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu Ismail Sabri berkata, Ops Benteng semalam turut berjaya menahan seramai 33 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) serta merampas empat buah kenderaan darat.

“Sebanyak 428 Sekatan Jalan Raya (SJR) dilaksanakan semalam melibatkan Ops Penawar (378 SJR), Ops Benteng PDRM (41 SJR) dan Ops Benteng Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) (Sembilan SJR).

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” jelasnya.

Mengulas lanjut beliau berkata, seramai 106,748 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua telah ditempatkan di 81 Hotel dan 15 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta.

“Daripada jumlah itu, seramai 8,346 individu sedang menjalani proses Kuarantin Wajib manakala 540 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan. Seramai 97,862 individu telah dibenarkan pulang.

“Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga telah membuat 729 pemantauan harian ke atas 11 jenis bekalan barangan termasuk peruncit (562), pemborong (138) dan pengilang (29) semalam dan mendapati bekalan barangan keperluan mencukupi,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI