fbpx

Pemandu disaman, cukai jalan ambulans tamat tempoh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ambulans klinik swasta yang ditahan dalam Ops Bersepadu di Stesen Penguatkuasa, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Stesen Bukit Jawa dekat Selising hari ini.

PASIR PUTEH – Kealpaan seorang pemandu ambulans di sebuah klinik swasta di sini untuk memeriksa tarikh tamat tempoh cukai jalan sebelum memulakan perjalanan membawa padah apabila dia disaman dalam Ops Bersepadu di Stesen Penguatkuasa, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Stesen Bukit Jawa dekat Selising di sini hari ini.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh, Inspektor Mohd. Adzrul Amrie Azizan berkata, saman itu dikeluarkan terhadap pemandu yang berusia 32 tahun selepas mendapati cukai jalan ambulans itu tamat tempoh pada bulan lalu.

Katanya, pemandu bersama pembantunya yang berusia lingkungan 40-an sedang dalam perjalanan dari Pasir Puteh ke Kota Bharu sebelum ditahan sepasukan anggota polis dan JPJ untuk pemeriksaan dalam operasi berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati, cukai jalan ambulans itu telah tamat tempoh dan dan saman telah dikeluarkan terhadap pemandu terbabit.

“Saman dikeluarkan terhadap pemandu terbabit mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Operasi itu dijalankan sempena pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini dengan melibatkan seramai 16 orang termasuk pegawai dan anggota trafik IPD Pasir puteh dan JPJ Stesen Bukit Jawa.

Mengulas lanjut, menurut Mohd. Adzrul Amrie, dalam operasi itu yang bermula pagi tadi, sebanyak 95 buah kenderaan pelbagai jenis telah diperiksa dan 16 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik.

Katanya, sepanjang operasi diadakan, segelintir pemandu memberi alasan yang tidak munasabah untuk merentas daerah dan telah diarahkan agar berpatah balik. -K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI