fbpx
Perairan Pulau Tioman menyimpan seribu khazanah berharga yang menjadi buruan pemburu harta karun. – GAMBAR HIASAN

Harta karun lesap dirompak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PEKAN – Artifak berusia ratusan tahun bernilai jutaan ringgit yang tenggelam bersama kapal karam di dasar perairan sekitar Pulau Tioman, Rompin dilaporkan semakin lesap akibat dirompak pemburu harta karun.

Pengarah Jabatan Muzium Negeri Pahang, Datuk Ahmad Farid Abd. Jalal mendedahkan, artifak seramik antaranya seperti celadon yang bernilai tinggi di pasaran gelap antara harta karun yang menjadi buruan.

Menurutnya, pada abad-abad terdahulu, banyak kapal dagang singgah di Pulau Tioman untuk mendapatkan bekalan makanan serta air bersih.

Difahamkan, kapal dagang itu datang dari China dalam tempoh antara tahun 960 hingga 1279 ketika zaman Dinasti Song.

“Ketika pelayaran, ada antara kapal tenggelam di dasar laut perairan pulau itu bersama barang dagangan seperti seramik.

SERPIHAN seramik berusia ratusan tahun ini juga pernah ditemui di Sungai Kuala Pahang, Pekan, Pahang tahun lalu.

“Namun, hasil pemeriksaan yang dilakukan sebelum ini mendapati, barangan berharga di dalam beberapa bangkai kapal yang ditemui itu sudah kosong.

“Kami percaya ia telah dicuri sejak beberapa tahun lalu,” katanya kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.

Menurutnya, celadon adalah sejenis tembikar berkilat diperbuat daripada tanah liat dan dihasilkan oleh tukang dari China serta Semenanjung Korea pada abad-abad awal.

Jelasnya, celadon dari tamadun China yang sering digunakan golongan bangsawan memiliki kualiti tinggi dan kebiasaan berwarna hijau serta menyerupai batu jed.

“Seramik celadon juga memiliki ketahanan yang tinggi dalam air masin sekali gus kualitinya kekal meskipun tenggelam selama beratus-ratus tahun di dasar laut. Di­sebabkan itu, harga­nya sangat mahal.

“Biasanya ia dijual kepada peminat koleksi barangan antik dan purba,” ujar­nya.

Contoh seramik celadon bernilai tinggi.

Ahmad Farid ber­kata, pihaknya percaya masih terdapat bangkai kapal yang berisi artifak berharga berada di dasar perairan Pulau Tioman dan lokasi-lokasi berdekatannya.

Justeru, pihaknya berharap kerajaan mewujudkan undang-undang yang lebih menyeluruh terutama aspek penguatkuasaan dalam usaha menyelamatkan artifak warisan sejarah negara.

Tahun lalu, sekumpulan penyelidik bersama Jabatan Wari­san Negara telah menemui beberapa serpihan artifak seramik serta enam keping wang syiling dari zaman Dinasti Song di dasar Sungai Kuala Pahang dekat Kampung Pulau Jawa, Pekan.

Mereka turut menemui bangkai kapal yang sebahagiannya ditimbus tanah liat di dasar sungai.

Hasil penemuan itu membuka lembaran baharu berkaitan hubungan dagang Pahang-China yang pernah terjalin antara tahun 960 hingga 1279.

Ia juga menjadi satu lagi bukti bahawa Sungai Kuala Pahang pernah menjadi tempat singgah kapal dagang antarabangsa setanding pelabuhan Kesultanan Melaka suatu ketika dahulu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN