fbpx
gambar hiasan

Banjir di Sarawak makin buruk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING – Bilangan mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini terus meningkat kepada lebih 4,000 orang semalam.

Menurut Jawatankuasa Pe­ngurusan Bencana Negeri Sarawak, angka itu meningkat berbanding 3,518 orang pada pukul 8 malam kelmarin.

Ia melibatkan empat daerah iaitu Kuching, Serian, Samarahan dan Miri.

Keadaan barangan di dalam rumah yang ditenggelami banjir di Kuching semalam.

Seorang penduduk, Jasima Sahril, 39, berkata, ini bukan kali pertama rumahnya yang terletak di Taman Malihah di sini dinaiki air, namun kali ini adalah yang terburuk berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Ibu empat anak itu membe­ritahu, dia sekeluarga sudah bersiap sedia menghadapi bencana banjir pada musim ini dengan memastikan barangan seperti peti sejuk dan televisyen dipindahkan ke tempat lebih tinggi,

“Pada musim ini, air naik se­tinggi satu meter hingga ke paras pinggang. Ada barangan lain yang tidak dapat diselamatkan,” kata­nya ketika ditemui di PPS Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hua Sungai Tengah, Jalan Sejijak di sini semalam.

Menceritakan detik cemas banjir kelmarin, Jasima membe­ritahu, dia mengetahui kejadian itu selepas menerima panggilan telefon daripada jirannya semasa sedang tidur.

“Saya mendapati air sudah masuk ke kawasan rumah dan bingkas mengejutkan ahli keluarga yang lain. Saya kemudiannya menghantar anak-anak ke rumah kawan.

“Sebaik pulang ke rumah, air sudah mencecah paras pinggang,” katanya.

Di Sabah, angka mangsa banjir di negeri itu menurun kepada tiga angka semalam yang ditempatkan di tujuh PPS.

Anggota APM membantu mangsa banjir yang terjejas di Sabah.

Empat daerah masih terjejas iaitu Pitas, Beaufort, Lahad Datu dan Beluran.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Sabah berkata, PPS di Kota Marudu dan Kudat ditutup sepenuhnya pada pukul 2 petang semalam.

Situasi sama turut berlaku di Pahang dan Johor apabila mang­sa yang ditempatkan di PPS juga berkurangan pada 7 malam tadi.-K! ONLINE