fbpx

Taman awam, rekreasi dibenarkan beroperasi semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Semua taman awam dan rekreasi di Wilayah Persekutuan dibuka semula kepada orang ramai bermula hari ini walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang dilaksanakan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, kebenaran itu bagaimanapun dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Menurut beliau, pengunjung tidak dibenarkan menjalankan aktiviti berkumpulan seperti senam robik dan aktiviti perniagaan tidak dibenarkan beroperasi di situ.

“Selepas menimbang semula, kita memutuskan taman awam DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) hendaklah dibuka tetapi dikawal selia dan SOP mesti dipatuhi.

“Lazimnya, apabila taman dibuka, ada kumpulan buat riadah dan berkelah, namun ia tidak pula menghalang aktiviti lain dibuka untuk digunakan orang awam selagi ia tidak bertentangan dengan SOP KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia),” katanya secara langsung menerusi laman Facebook beliau hari ini.

Dalam pada itu, Annuar berkata, semua premis serta kedai cermin mata di Wilayah Persekutuan juga dibenar membuka perniagaan mereka.

Menurut beliau, Majlis Keselamatan Negara (MKN) berpuas hati kedai cermin mata boleh beroperasi sebagai sebahagian khidmat yang diperlukan oleh rakyat.

Sementara itu, beliau memaklumkan Kementerian Wilayah Persekutuan akan melancarkan Program MY5 pada bulan depan.

Kata beliau, program itu bagi menjamin kehidupan yang lebih berkualiti buat masyarakat di Wilayah Persekutuan khususnya penghuni di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Katanya, satu pendekatan baharu diperkenal di bawah program itu iaitu MyBeras untuk golongan memerlukan termasuk asnaf mendapatkan bantuan beras.

“Mereka yang ingin mendapatkan beras itu boleh memohon kupon dari majlis penduduk,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI