fbpx

Jumaat sayu minggu pertama PKP 2.0

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

MELAKA – “Hari ini, hari Jumaat yang menangis. Menangis di dalam hati apabila melihat saf yang sebelum ini penuh dengan 1,400 jemaah kini hanya diisi 45 jemaah sahaja bagi menunaikan solat Jumaat pada hari ini,” luah Abdul Aziz Abdul Razak.

Dia yang bertugas sebagai Penolong Ketua Penyelia Pengawal Keselamatan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Masjid Al-Azim, Bukit Palah, di sini, berkata, berpuluh jemaah terpaksa diarahkan untuk berpatah balik selepas kapasiti untuk solat di masjid itu penuh dalam tempoh 20 minit.

Jelasnya, jemaah mula dibenarkan masuk pada pukul 12.30 tengah hari manakala mereka yang tiba pada 12.50 terpaksa hanya akur dan berpatah balik berikutan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

“Saya terpaksa memberitahu jemaah kapasiti masjid telah penuh iaitu 45 orang mengikut SOP PKP dan itulah perkara yang paling menyedihkan sepanjang bertugas selama lima tahun di sini.

“Ada juga jemaah yang merayu untuk dibenarkan masuk dan solat di ruang luar masjid, namun apakan daya kalau kita mahukan mengimarahkan masjid ini seperti tahun-tahun sebelumnya, kita perlulah patuh pada SOP ditetapkan untuk memutuskan rangkaian Covid-19 ini,” katanya ketika ditemui di Masjid Al-Azim di sini, tadi.

Dalam pada itu, seorang jemaah, Anuar Johari, 56, dari Alai berkata, dia yang menjalankan perkhidmatan e-hailing Grab telah singgah ke masjid itu pada pukul 10 pagi semata-mata untuk mendapatkan maklumat berkenaan waktu kemasukan bagi solat Jumaat.

“Saya singgah ke masjid untuk bertanya kepada pengawal keselamatan pukul berapa yang sesuai untuk saya datang supaya dapat menunaikan solat Jumaat di masjid ini.

“Saya kemudian pulang ke rumah untuk salin pakaian dan datang semula ke masjid pada pukul 12 tengah hari dan menunggu sehingga jemaah dibenarkan masuk. Alhamdulillah, saya dapat menunaikan solat Jumaat seperti sebelumnya walaupun dilihat hanya dua saf sahaja dipenuhi,” katanya.

Terdahulu, solat Jumaat dengan khutubah ‘Hari Kebangkitan’ telah dibacakan dan diimankan oleh Imam Satu Masjid Al-Azim, Hasbullah Selah. Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Md. Azhan Samat. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI